Biar patah sayap, ‘berundur’ tidak sesekali

IBARAT patah sayap bertongkak paruh, pentas persembahan menjadi medan perjuangan buat hampir semua bintang K-pop.

Itulah tempat mereka memberikan segalanya demi menghiburkan peminat.

Di sebalik kehangatan aksi dan senyuman di atas pentas, lantai pentaslah juga penyimpan dan saksi kisah getir buat bintang-bintang yang pernah mengalami kecederaan teruk sewaktu persembahan.

Semangat luar biasa mereka untuk tetap berdiri meskipun menahan sakit menjadikan detik mahal untuk dikenang.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan lima artis yang tidak hanya memukau dengan bakat, tetapi miliki hati cekal berdepan detik sukar sewaktu beraksi di atas pentas.

Jungkook

Pada 2016, anggota kumpulan BTS, Jungkook mengejutkan ARMY (nama kelab peminat) apabila dilihat berjalan terhincut-hincut semasa persembahan Wings Tour.

Insiden itu berpunca daripada kecederaan lutut serius ketika sesi latihan yang terlalu intensif.

Meskipun menahan kesakitan, idola berusia 28 tahun itu tetap tampil di atas pentas, malah menyanyi sambil duduk demi memastikan peminat tidak kecewa.

Saya tak sanggup menghampakan mereka yang datang dari jauh. Ini tanggungjawab saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketabahan Jungkook ketika itu mengundang kekaguman ramai, malah peminat terus memberi sokongan padu sehingga trending hashtag #GetWellSoonJungkook sebagai tanda solidariti. Detik itu menjadi bukti komitmen luar biasanya sebagai seorang penghibur.

Lisa

Siapa tidak kenal anggota kumpulan Blackpink, Lisa yang dikenali dengan tarian lincah dan koreografi penuh tenaga.

Namun, malang tidak berbau apabila aksi tarian lantai idola berusia 28 tahun itu sewaktu persembahan lagu Ddu-du Ddu-du pada 2020 mengakibatkan kecederaan pada bahunya.

Masih memberikan komitmen sepenuhnya, pelantun lagu Rockstar itu tetap meneruskan persembahan tanpa menunjukkan kesakitan.

Selepas konsert, peminat hanya mengetahui perkara itu apabila dia memakai balutan anduh sewaktu sesi ramah mesra.

Saya tak mahu mereka risau, jadi saya teruskan seperti biasa,” katanya dalam media sosial.

Kisah bintang asal Thailand itu mengingatkan peminat betapa teguhnya dedikasi dan semangat deretan artis K-pop yang sering kali melampaui batasan fizikal.

Taemin

Taemin si oppa yang sinonim jolokan ‘Dancing Machine’ kumpulan SHINee pernah terseliuh buku lali ketika persembahan dalam sebuah konsert jelajah.

Tarian yang penuh dengan aksi ekstrem menjadi punca insiden, namun idola berusia 32 tahun itu tetap menyelesaikan persembahan tanpa memberi sebarang petunjuk dia sedang menahan kesakitan.

Saya tak mahu membuat ahli kumpulan dan peminat risau. Pentas itu milik mereka juga,” ujarnya menunjukkan profesionalisme luar biasa.

Kesungguhan dan tekad jejaka tampan itu dilambung selangit pujian, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai artis serba boleh.

Wendy

Anggota kumpulan Red Velvet, Wendy mengalami kecederaan paling tragis dalam sejarah K-pop apabila jatuh dari pentas setinggi hampir tiga meter sewaktu sesi latihan untuk SBS Gayo Daejeon pada 2019.

Akibatnya, Wendy patah tulang pelvis, pergelangan tangan dan retak tulang pipi.

Kehilangan Wendy dari pentas selama hampir setahun memberikan tamparan hebat kepada Red Velvet dan peminat.

Namun, Wendy kembali lebih kuat dengan album solo pertamanya berjudul Like Water yang menjadi simbol kebangkitannya selepas tragedi malang yang hampir meragut nyawa.

Perjalanan ini sukar, tapi sokongan peminat buat saya terus bertahan,” katanya dalam satu temu bual.

Baekhyun

Insiden tidak dijangka berlaku kepada anggota kumpulan EXO, Baekhyun sewaktu konsert Exo’rdium apabila mikrofonnya tiba-tiba terlepas daripada genggaman sehingga mengakibatkan kecederaan pergelangan tangannya.

Meskipun darah kelihatan pada tangan, idola berusia 32 tahun itu tetap profesional dan enggan menghentikan persembahan.

Sakit itu sementara, tapi kenangan bersama peminat kekal selamanya,” katanya bersulam senyuman.

Kecekalan Baekhyun membuktikan dedikasinya kepada EXO-L (nama kelab peminat), impaknya dia terus diberikan sokongan tak berbelah bahagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok