‘Apresiasi buat peminat’ – New Boyz ‘meraung’ di Kota Singa

DUA dekad bukan tempoh singkat untuk sesebuah kugiran terus bertahan dalam dunia muzik, namun New Boyz membuktikan masa takkan mampu memadamkan pesona karya mereka daripada ingatan peminat.

Biar pentas dan zaman silih berganti, seleksi yang pernah menjadi teman generasi 1990-an masih mempunyai magis tersendiri apabila dinyanyikan semula.

Lebih mengujakan, karya berkenaan kini turut menemukan peminat daripada generasi baharu yang mungkin mengenali New Boyz menerusi platform digital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Enggan sekadar bergantung kepada nostalgia, New Boyz yang dianggotai Tomok sebagai vokalis, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes) serta Along dan Ristoe (dram) bakal kembali menggegarkan pentas menerusi konsert New Boyz Meraung — Live in Singapore.

Konsert anjuran MSN Entertainment yang dijadual berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada pada 5 Disember 2026, pukul 8 malam itu juga ruang buat mereka bertemu selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan berskala mega.

Bagi Tomok, konsert berkenaan bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya menjadi permulaan baharu buat New Boyz untuk kembali mendekati peminat yang setia mengikuti perjalanan mereka sejak awal kemunculan sekitar 1999.

“Selepas dua tahun kami tidak mengadakan persembahan, New Boyz memilih untuk memulakan konsert di Singapura sebagai apresiasi kepada peminat Kota Singa yang tidak pernah putus menyokong perjalanan seni kami sejak dahulu sampai sekarang.

“Jika diimbau, Singapura adalah negara yang paling kerap New Boyz singgahi pada zaman awal kemunculan dan tanggal 5 Disember 2026 ini, kami mahu kembali dengan New Boyz Meraung — Live in Singapore.

“Bukan sahaja membangkitkan nostalgia bahkan merayakan kesetiaan semua peminat buat kami,” katanya.

NEW Boyz yang dianggotai Tomok sebagai vokalis, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes) serta Along dan Ristoe (dram) kembali menggegarkan Singapura menerusi konsert New Boyz Meraung — Live In Singapore.

Menurut Tomok lagi, pemilihan republik itu sebagai lokasi pembuka tirai persembahan kali ini mempunyai nilai sentimental kerana destinasi berkenaan antara yang kerap dikunjungi ketika mereka di kemuncak populariti.
Kumpulkan peminat

Malah, vokalis berkenaan berharap kemunculan mereka nanti bukan sahaja disambut peminat di Singapura, sebaliknya mampu menarik peminat dari negara jiran untuk bersama-sama meraikan perjalanan panjang New Boyz.

“Kami berharap dapat mencuri hati peminat dari Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk berkumpul dalam satu perayaan New Boyz Meraung — Live in Singapore.

“Ini peluang untuk kita sama-sama meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai orang dan pada masa sama memperkenalkan New Boyz kepada generasi baharu,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan nama Meraung, Aynn daripada MSN Entertainment berkata, tajuk tersebut mempunyai kaitan erat dengan sejarah muzik New Boyz, khususnya lagu popular daripada album Akur yang diterbitkan pada tahun 2000.

“Sengaja konsert ini diberi nama New Boyz Meraung — Live in Singapore sempena mengenang momen yang sangat signifikan dengan kugiran ini sendiri.

“Meraung adalah lagu yang cukup hit daripada album Akur yang diterbitkan pada tahun 2000 dan kini, selepas 26 tahun masih relevan serta sangat signifikan kepada peminat lama.

“Pada masa sama, dendangan itu bakal menjadi salam perkenalan kepada semua pendengar generasi baharu,” katanya.

Walaupun membawa nama Meraung, persembahan tersebut tidak tertumpu kepada satu lagu semata-mata, sebaliknya New Boyz akan menghidangkan rangkaian karya popular yang pernah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kugiran penting dalam sejarah muzik tempatan.

Antaranya termasuk lagu Sejarah Mungkin Berulang, selain karya hit lain yang telah sebati dengan memori pendengar sejak era 1990-an.

Lebih daripada sekadar menyanyi semula lagu lama, kemunculan New Boyz di pentas berkenaan dijangka menjadi pertemuan antara kenangan silam dengan realiti generasi hari ini.

Buat peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada sejarah malam penuh nostalgia itu, tiket ditawarkan pada harga bermula SGD99 atau RM316 bagi kategori Silver, diikuti Gold SGD149 (RM478), Platinum SGD159 (RM509) dan Diamond SGD169 (RM540).

Sementara itu, tiket VIP berharga SGD259 (RM827) turut ditawarkan kepada peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif bersama anggota New Boyz.

Pemegang tiket VIP bakal menikmati keistimewaan termasuk sesi bertemu dan beramah mesra bersama anggota New Boyz, pas VIP eksklusif, lanyard, poster serta beg tote selain akses laluan ekspres untuk pemeriksaan barangan dagangan dan tiket. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok