‘Untung lagi pelajar aku’ – Farah Ahmad jawab anak dilabel ‘nepo baby’

“UNTUNGLAH sebab latar belakang keluarga.”

Demikian kata-kata sinis pelakon dan pengarah, Farah Ahmad terhadap persepsi segelintir pihak yang menganggap individu daripada keluarga seni mempunyai kelebihan mencipta nama apabila dikaitkan dengan ‘nepo baby’.

Farah atau nama lengkapnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, 48, berkata latar belakang keluarga mungkin memberikan individu akses atau pendedahan lebih awal terhadap dunia seni, namun perkara itu tidak semestinya menjamin seseorang mempunyai bakat lakonan yang baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Farah juga guru lakonan turut berkongsi pengalaman mengajar pelakon yang menurutnya perlu diterangkan asas lakonan secara terperinci sebelum benar-benar memahami konsep yang diajar.

“Untung lagi pelajar aku bila belajar lakonan. Kita mengajar A sampai Z, terangkan itu dan ini sampai faham. Itu pun ada yang tak faham,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Pada masa sama, isteri kepada pengarah, Allahyarham Pitt Hanif itu menjelaskan pendekatan berbeza digunakan ketika mendidik anaknya, Mhia Firdaus yang sejak kecil sudah menunjukkan minat terhadap lakonan.

Katanya, dia tidak pernah memberikan gadis berusia 19 tahun itu formula khusus untuk menghasilkan tangisan ketika berlakon, sebaliknya hanya meminta Mhia memahami emosi yang dirasai.

“Anak aku? Ingat lagi masa kecil Mhia tanya mama macam mana nak berlakon menangis.

“Saya jawab, ‘rasa, fikir’. Itu saja jawapan saya,” ujarnya.

Farah berkata, jawapan ringkas itu diberikan kerana dia mahu anaknya memahami bahawa lakonan bukan semata-mata soal menghafal dialog atau meniru ekspresi tertentu, sebaliknya perlu datang daripada penghayatan emosi.

Akuinya, ketika Mhia masih kecil, dia pernah melihat anaknya cuba menghayati emosi dan berlatih menangis sendiri ketika bermain dengan lakonan.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terlalu mencampuri proses tersebut kerana mahu anaknya mengenali sendiri tindak balas tubuh dan emosinya.

“Dalam hati, saya tak tahu apa anak saya fikir. Yang saya tahu, kadang-kadang nampaklah si Mhia feeling berlakon menangis.

“Saya biarkan saja, biar dia tahu macam mana mekanisme badan dia untuk faham apa itu rasa, bukan lakonan semata-mata,” jelasnya.

Terdahulu, Mhia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon Melayu pertama menerima pencalonan kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Golden Horse ke-63 menerusi Sayang Sayang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok