BELUM sampai dua tahun mencipta nama dalam arena M-Pop, kumpulan Alpha melakar satu lagi detik penting dalam perjalanan seni mereka apabila menjayakan konsert sulung, ALPHA The First Wave, di Zepp Kuala Lumpur minggu lalu.
Sejak awal pengumuman konsert, keterujaan peminat terhadap persembahan berkenaan sudah dapat dirasakan apabila tiket dilaporkan habis terjual dalam tempoh kurang sejam selepas jualan dibuka.
Alpha yang dianggotai tujuh jejaka iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky punya aura dan personaliti tersendiri.
Mereka tidak seragam, dari segi rupa, personaliti mahupun usia, namun jiwa mereka bersatu. Itu yang menjadikan kumpulan itu istimewa dan unik.
Jika sebelum ini Alpha lebih dekat dengan peminat menerusi persembahan televisyen, muzik video dan platform digital, The First Wave memberikan ruang lebih luas buat mereka membuktikan kemampuan sebagai sebuah kumpulan persembahan.
Konsert juga hadir pada masa yang cukup bermakna selepas Alpha melancarkan album studio penuh pertama mereka yang turut menggunakan judul The First Wave.
Album tersebut menghimpunkan 12 lagu dan menjadi antara pencapaian penting kumpulan itu selepas setahun membina nama dalam industri.
Justeru, konsert sulung berkenaan menjadi peluang buat Alpha memperlihatkan perkembangan mereka secara lebih menyeluruh, daripada kemampuan vokal, rap, tarian sehinggalah ‘chemistry’ tujuh anggota di atas pentas.
Sebelum konsert bermula, penonton terlebih dahulu dihidangkan dengan persembahan pembukaan daripada finalis Big Stage Rocketfuel, antaranya Adam Nazmie, Yad-Z dan Ranisha.

ALPHA terharu dengan sokongan daripada peminat setia mereka terutama apabila menang dua trofi AIM25.
Bijak komunikasi
Alpha membuka pentas pada malam itu dengan lagu Gerak. Kemunculan mereka dari kiri dan kanan pintu dewan membuatkan lebih 2,000 peminat berteriak.
Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Gelato disusuli pula dengan lagu Bujang.
“Terima kasih kepada Alphanite (peminat) yang hadir. Kalian menjadikan apa yang sebelum ini hanyalah sekadar mimpi, tetapi malam ini menjadi realiti,” kata salah seorang anggota, Izat.
Satu yang menarik tentang Alpha, biarpun mereka satu kumpulan, namun dari segi jarak umur, mereka terbahagi kepada bahagian dua iaitu ‘abang’ dan ‘adik’.
Mengambil peluang itu, Alpha turut membuat persembahan mengikut pecahan umur mereka. Tindakan ini agak bijak memandangkan repertoire mereka masih belum kukuh sekali gus durasi persembahan menjadi lebih panjang.
Artis undangan yang dipilih juga menambahkan lagi kehangatan konsert pada malam itu. Hussain menjadi artis pertama yang diundang berduet bersama menerusi lagu Tiada Lagi.
Sempat mereka mengusik Hussain yang kelihatan ‘malu-malu kucing’ di atas pentas. Hussain turut menghiburkan penonton dengan lagu solonya, Takkan Pernah.
Mahu membuktikan bahawa mereka penyanyi versatil yang boleh menyanyikan pelbagai jenis genre lagu, Alpha mengundang Nadeera Zaini untuk berduet lagu tradisional dendangan asal kumpulan Senario dan Haida iaitu Zapin Usik Mengusik.
Siapa kata Alpha tak menyanyi lagu tradisional? Malam Ini kita akan buktikan bahawa kami juga boleh menyanyi lagu tradisional selain lagu pop,” kata Araff.
Baru sahaja melancarkan lagu duet bersama Daiyan Trisha iaitu Haru Biru, Alpha tidak ketinggalan mengundang penyanyi jelita itu untuk membuat persembahan bersama mereka.
Gabungan dengan Daiyan dilihat sangat serasi terutama apabila mereka sempat mengusik di antara satu sama lain sekali gus menggeletek hati penonton.
Alpha juga sempat meraikan kemenangan mereka pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) menerusi kategori Artis Baharu Terbaik. Kedua-dua acara tersebut berlangsung serentak pada waktu yang sama.
Mereka turut memenangi kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu P. Ramlee Saloma pada acara berprestij terbabit.

ALPHA kini berada di landasan terbaik untuk mengikut jejak langkah boy band hebat terdahulu seperti KRU dan Ruffedge.
Setiap anggota juga mengambil kesempatan untuk membaca kad ucapan buat peminat tercinta. Masing-masing sebak apabila membaca bait-bait kad kerana terkenang perjalanan karier mereka sejak dari program Big Stage hingga hari ini.
“Kami nak mereka tahu yang setiap apa yang berlaku atas pentas ini adalah hasil daripada perjalanan kami bersama mereka.
Setahun mungkin nampak singkat, tapi untuk kami, terlalu banyak yang berlaku. Kami bermula sebagai tujuh orang yang mempunyai impian. Hari ini kami berdiri sebagai Alpha,” kata Ariel.
Selain kad ucapan istimewa buat para peminat, malam tersebut turut dipenuhi kejutan menerusi pratonton eksklusif berdurasi 30 saat video muzik Burn It Down.
Turut dipersembahkan buat pertama kali adalah video muzik terbaru Mahkota Cinta sekali gus memberi peminat peluang menjadi antara yang terawal menyaksikan karya visual tersebut.
Antara 20 buah lagu disampaikan pada malam tersebut termasuklah Mahkota Cinta, Sahabat, Tiada Pengganti, Burn It Down, Dia, Mona Lisa dan Gento.
Untuk konsert sulung bagi kumpulan yang baru setahun jagung, The First Wave boleh dikatakan sebagai permulaan yang baik.
Dari segi vokal, ada banyak perkara yang boleh diperbaiki, namun dari segi visual dan interaksi bersama peminat, Alpha berada di kedudukan yang selesa.
Jika terus diberi peluang, tidak mustahil kumpulan ini mampu menganjurkan konsert di lokasi yang lebih besar pula selepas ini kerana mereka mempunyai semua elemen yang diperlukan oleh sebuah kumpulan penyanyi lelaki masa kini.
Cukup percaturan, Alpha kini berada di landasan terbaik untuk mengikut jejak langkah boy band hebat terdahulu seperti KRU dan Ruffedge.
Apa yang tinggal adalah usaha dan komitmen ditekankan pada setiap karya dilahirkan. Tahniah Alpha! – HIBGLAM

