SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata, tidak terkecuali pelakon cantik Hannah Delisha.
Namun, hasrat untuk memiliki zuriat bersama suami tercinta, Imam Shah belum kesampaian apabila dia mengalami keguguran pada Mac tahun lalu.
Tenang menghadapi ujian, pemilik nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch, 27, akur andai ditakdirkan menimang anak selepas berusia 30 tahun.
Malah, dia kini lebih peka dengan keadaan tubuh yang perlu mendapatkan rehat secukupnya di awal kehamilan.
“Saya sedar kita hanya boleh rancang, tetapi Allah yang tentukan. Jadi, kalau rezeki dapat anak selepas mencecah usia 30 tahun saya kena terima.
Ada wanita yang boleh bekerja dalam tempoh waktu yang panjang dan keluar sana-sini tapi bila sampai waktu melahirkan, semuanya mudah saja.
“Sekarang saya faham keadaan tubuh saya. Trimester pertama kandungan saya perlu berehat dan nampaknya kena ada perancangan keluarga,” katanya kepada HibGlam.
Pelakon kelahiran Singapura itu berpegang dengan nasihat ibunya agar percaya dengan ketentuan Ilahi dan faham tentang perancangan keluarga.
Sebelum gugur, saya tidak percayakan perancangan keluarga. Ibu sering mengingatkan saya apabila lihat saya terlalu sibuk dengan kerja. Ibu suruh jaga kesihatan kerana badan setiap orang tidak sama. Ada orang boleh kerja kuat sampai bersalin pun tiada apa-apa berlaku.
“Namun, badan saya mungkin tak sekuat itu, jadi jika ditakdirkan mengandung, saya kena berehat pada trimester pertama.
Buat masa ini, belum ada apa-apa memandangkan saya sibuk dengan penggambaran drama 50 episod untuk Ramadan,” tambahnya.
Meskipun belum ada rezeki anak, Hannah dilimpahi dengan tawaran lakonan dan duta produk susu untuk kesihatan.
“Alhamdulillah, saya dilantik jadi duta Conboo selama setahun. Apabila usia makin meningkat, baru saya sedar rutin penjagaan kulit bukan setakat jaga muka.
Suplemen tambahan memang perlu tetapi paling utama minum air dan tidur kena cukup.
“Susu kambing ini tidak hamis dan muak seperti sesetengah produk. Apa yang penting, kecantikan yang dikurniakan tidak mencukupi tetapi saya perlu tambah lagi dengan bantuan makanan tambahan seperti susu kambing ini,” jelas pelakon yang bakal tampil dengan drama baharu Dendam Seorang Madu itu.
Melakonkan watak sebagai isteri kedua, Hannah tiada masalah menghidupkan watak perampas pada masa hadapan.
“Saya pernah bawa watak perampas suami orang tetapi itu sebelum berhijab.
Saya memang tiada masalah kalau ada tawaran serupa (penyondol) sebab itu hanya lakonan untuk memberi pengajaran kepada penonton.
“Watak sebegitu membolehkan saya cabar diri sebagai pelakon, lagi pun wanita bertudung tak semestinya kena bawa watak baik,” tutur pelakon drama Di Hatiku Ada Kamu itu.
Meskipun drama berkisarkan kecurangan menjadi trend, Hannah sedia maklum perkara tersebut diputuskan pihak stesen televisyen dan produksi atas permintaan penonton.
“Banyak drama tentang rampas suami atau isteri orang, ini di luar bidang kuasa saya sebab pada akhirnya keputusan tersebut dibuat oleh pihak stesen televisyen. Jika itu yang penonton suka, kita ikut sahaja,” ujarnya. – HIBGLAM