DEMI memberikan persembahan terbaik, pelakon Zarif Ghazzi mengalami kesan sampingan fizikal iaitu urat kepala timbul sewaktu menjayakan watak Abbas dalam drama KUDRAT 1968: High Council.
Selepas merujuk pakar perubatan, Zarif atau nama lengkapnya Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, memaklumkan keadaan itu berpunca daripada masalah kurang rehat dan tekanan emosi yang melampau sewaktu mendalami watak.
“Sebelum ini saya kurang ada urat di kepala, jadi waktu saya melakonkan watak Abbas ini, antara kesan sampingan yang saya kena adalah urat itu dah sampai ke telinga dan berdenyut-denyut.
“Saya pergi jumpa doktor dan dia cakap saya memang kena rehat. Saya terlalu ‘depressed’ (tertekan), semuanya demi untuk menghasilkan watak Abbas,” katanya kepada HibGlam semasa majlis tayangan episod pertama KUDRAT 1968: High Council, semalam.
Meskipun terpaksa menanggung kesan sampingan, pelakon drama Seribu Tahun itu tidak menjadikan perkara tersebut sebagai alasan atau keluhan yang membantutkan minatnya terhadap kerjaya lakonan.
“Bagi saya ini adalah perjalanan saya untuk melakonkan watak Abbas walaupun saya kena kesan apa-apa, itulah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon, tak kisahlah watak sesusah mana pun.
“Saya memang bermati-matian sebab saya memang minat berlakon. Jadi tak kisahlah, bagi saya watak yang saya perlu kurus kering, watak hidap kanser pun saya tak ada masalah.
“Jadi watak askar, atlet atau bagi sahaja apa pun kepada saya dan saya akan bagi yang 100 peratus untuk karakter itu,” ujarnya lagi.
Zarif merupakan tunjang utama dalam KUDRAT 1968: High Council yang baka ditayangkan pada 11 September ini menerusi siri premium Astro Originals dengan empat episod sebelum filem berada di pawagam di seluruh Malaysia tahun ini.
Selain Zarif, bintang lain yang turut terlibat dalam naskhah arahan Zulaikha Zakaria itu ialah Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf.
KUDRAT 1968: High Council merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council. – HIBGLAM
