Terkilan, mereka buat imej saya tidak bertudung – Najwa Latiff

PENYANYI Najwa Latiff mendedahkan sudah menerima permohonan maaf sebuah jenama produk elektronik menerusi ruangan mesej (DM) yang mengakui menyunting video siaran langsungnya dan mengubah imejnya kepada tidak bertudung baru-baru ini.

Menurut Najwa, dia bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permohonan maaf tersebut dan masih mempertimbangkan tindakan yang bakal diambil.

“Syarikat tersebut telah membuat permohonan maaf, menghantar mesej menerusi ruangan mesej media sosial tetapi saya belum membalasnya.

Setakat ini saya belum mengambil sebarang tindakan dan masih berbincang dengan suami tentang tindakan seterusnya. Jika merosakkan kredibiliti, tindakan harus diambil.

”Saya tak mahu terburu-buru dalam mengambil tindakan dan lebih baik berbincang dengan orang sekeliling tentang tindakan seterusnya,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Konsert Wali Live In JB, semalam

Dalam masa sama, dia mengakui kecewa dengan penghasilan video tersebut yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Sejujurnya saya terkilan, namun tetap perlu lalui situasi ini.

“Cuma setakat ini impaknya adalah ramai yang maklumkan kepada saya bahawa video itu hasil janaan AI.

Perkara ini baru semalam (kelmarin) berlaku, jadi impaknya belum teruk,” ujarnya

Dia juga sekali lagi menegaskan tidak terlibat dengan jenama tersebut untuk mempromosikan produk yang dijual.

“Tujuannya mungkin untuk mempromosikan jenama atau produk mereka. Mungkin tidak perasan, mereka pun menghasilkan imej janaan AI yang memaparkan imej saya tidak bertudung.

“Ramai beritahu tentang kewujudan video itu namun bila tekan pautannya, video itu sudah diturunkan.

Cuma kalau perkara ini sedikit sebanyak mencalarkan reputasi saya, kami tak teragak-agak untuk ambil tindakan,” jelasnya.

Beberapa hari lalu, tular sebuah video yang memaparkan Najwa dan suaminya, Akwa sedang mempromosikan produk sebuah syarikat produk elektronik.

Namun, video tersebut dipercayai telah disunting menggunakan teknologi AI sehingga memaparkan penampilan Najwa yang tidak bertudung. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok