GENAP 10 tahun bergelar pelakon, Timothee Chalamet cukup sedar telah meraih pelbagai pengalaman sepanjang bekerja dengan aktor dan produksi berbeza.
Namun katanya paling diingati adalah ketika bekerja dengan seorang bintang terkenal yang mempunyai ramai peminat tegar.
Chalamet, 27, mendedahkan bukan memori manis dibawa pulang sebaliknya dia seolah-olah masih terbau-bau aroma tubuh individu terbabit yang kurang menyenangkan.
Perkara tersebut dikongsikan ketika mempromosikan filem baharunya, A Complete Unknown yang ditayangkan pada akhir tahun lalu.
“Saya pernah bekerja dalam sebuah filem aksi ‘western’ beberapa tahun lalu dan ada seorang pelakon sentiasa dalam karakternya seperti cowboy yang jarang mandi.
“Anda akan menghidu bau tidak enak setiap hari biarpun bukan hari penggambaran. Dia tidak mandi dan kukunya mengerikan,” katanya yang merahsiakan nama aktor dimaksudkan.
Berdasarkan semakan, antara filem epik yang pernah dijayakan Chalamet berjudul Hostiles dibintangi Christian Bale, Ben Foster dan Jesse Plemons. – HIBGLAM