‘Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Mana yang baik kita ambil, mana yang buruk itu kita jauhkan.’
Demikian ulas pemuzik popular, Kugiran Masdo yang berasakan industri muzik tempatan sedikit terkesan gara-gara nyanyian sumbang pelakon Nur Fazura dalam sebuah program hiburan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Bukan mahu mengkritik, Kugiran Masdo bimbang, kelemahan Fazura akan merendahan pandangan peminat muzik seberang terhadap kualiti muzik, khususnya penyanyi dari Malaysia.
Sungguhpun begitu, vokalis kumpulan itu, Ali Sariah berharap apa yang berlaku harus dijadikan pengajaran.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Mana yang baik kita ambil, mana yang buruk itu kita jauhkan. Pengajaran untuk semua. Kami pun pernah berada di fasa itu, jadi kami faham apa yang berlaku.
“Sedikit, sebanyak memang tercalar, tetapi harus kuat semangat. Jadikan perkara ini sebagai satu sebab untuk kita menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan diri,” ujar Ali.
Ali bagaimanapun berharap netizen akan memberi ruang dan tidak terus membuat kecaman melampau hanya kerana satu persembahan yang tidak sempurna itu.
“Jadi ahli seni memang berat sebab dalam 100 persembahan yang dilakukan bukan semuanya sempurna.
“Mungkin ada satu persembahan tidak menjadi, tetapi itulah yang akan orang ingat. Sudah nama pun manusia, secara fitrahnya kita tidak sempurna,” kata Ali.
Dalam pada itu, kata Ali sebagai penghibur harus melakukan persediaan sebelum melakukan sebarang persembahan terutama di luar negara.
“Memang perlu benar-benar bersedia, adakalanya memang sebagai penyanyi kita sudah bersedia, tetapi apabila berada di atas pentas ‘feel’ dan auranya lain.
“Jika memang jarang buat persembahan pentas, tiba-tiba harus melakukan persembahan secara langsung depan televisyen, boleh buat kita rasa gugup. Ditambah dengan emosi yang tidak stabil memang akan menganggu persembahan dan tidak dapat menyanyi dengan baik,” luah Ali lagi.
Selepas perceraian dengan pelakon Fattah Amin, pada Selasa lalu Fazura membuat penampilan sulung dalam sebuah program bual bicara di Indonesia.
Dalam program berkenaan Fazura turut mempromosikan single terbaharunya berjudul Bertahan Demi Cinta yang merupakan sebuah lagu duet sebelum mereka berpisah.
Percubaan Fazura menyanyi lagu tersebut secara solo dan secara langsung mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Ali bersama kumpulan Kugiran Masdo ditemui pada sidang media Konsert One Love Music 2024 di IPC Cornerstone, di sini semalam.
Kumpulan Kugiran Masdo antara artis yang bakal membuat persembahan di Konsert One Love Music 2024 di Maeps, Serdang, Selangor pada 21 Disember depan.
Selain Masdo, antara artis lain yang akan menjayakan konsert berkenaan adalah, Bunkface, Hujan, Drama Band, 53 Universe, Insomniacks dan Gerhana Ska Cinta.
Turut memeriahkan konsert adalah kehadiran penyanyi dari Indonesia iaitu, Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah, dan Salma Salsabila. – HIBGLAM.