Imaginur terima 15 pencalonan FFM33 termasuk Filem Terbaik

FILEM Imaginur mendahului pencalonan tertinggi apabila tersenarai menerusi 15 kategori yang dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).

Kejayaan itu menyaksikan filem arahan Nik Amir Mustapha itu mendominasi pencalonan yang menyediakan sebanyak 24 kategori secara keseluruhan.

Imaginur tersenarai dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, Imaginur juga mendapat pencalonan dalam kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.

Penganjuran FFM33 turut menyaksikan filem Abang Adik arahan Jin Ong, mendapat sebanyak 11 pencalonan dalam kategori yang dipertandingkan.

Antaranya ialah menerusi Pengarah Harapan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.

Majlis perasmian FFM33 yang berlangsung di Studio Sound Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini hari ini dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Mano Verabathran, Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Bertemakan EMAS, Evolusi Sinema Malaysia, FFM33 kali ini menyaksikan sebanyak 104 penyertaan telah diterima dengan 95 pencalonan layak bertanding.

Antaranya 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

Pemenang 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

FFM33 turut memperkenalkan 57 program sisipan interaktif dalam tiga teras utama, iaitu Film Bizz, Pembudayaan Sinema dan Peningkatan Profesionalisme.

Malam Anugerah FFM33 bakal berlangsung pada 7 Disember ini pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Acara juga akan disiarkan secara langsung di RTM TV2. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok