MELENGKAPKAN jelajah After Hours Til Dawn di Asia, penyanyi antarabangsa, The Weeknd dijadualkan beraksi di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 November depan.
Kehadiran penerima Anugerah Grammy itu di Malaysia merupakan sebahagian daripada siri persembahan mega di benua ini bermula di Belluna DomeTokyo, Jepun, pada hujung minggu lalu.
Selepas Tokyo yang membabitkan dua persembahan, rombongan The Weeknd kemudian singgah ke Jakarta, Indonesia pada 26 dan 27 September sebelum menuju ke Singapura, Seoul, Bangkok dan Hong Kong.
Kuala Lumpur menjadi antara destinasi penting dalam perjalanan jelajah berkenaan apabila The Weeknd bakal beraksi selama dua malam berturut-turut.
Jelajah Asia itu pada asalnya hanya mempunyai 11 persembahan sebelum diperluaskan kepada 17 tarikh susulan permintaan tinggi, termasuk tiga malam di Thailand dan empat malam di Hong Kong.
After Hours Til Dawn sebelum ini mencatat sejarah apabila meraih lebih RM4.2 bilion kutipan global selepas penambahan tarikh persembahan bagi musim 2026.
Sejak dilancarkan pada 2022, jelajah berkenaan sudah ke Amerika Utara, Eropah, United Kingdom, Amerika Latin dan Australia dengan lebih 7.5 juta tiket terjual menerusi 153 persembahan.
Segmen akhir di Asia menjadi kunjungan pertamanya ke rantau ini dan dijangka menjadi antara peluang terakhir peminat menyaksikan produksi berskala besar sebelum melabuhkan tirai.
Sementara itu, mengenai aksi di Jepun minggu lalu, pemilik nama lengkap Makkonen Tesfaye, 36, mengejutkan peminat apabila menampilkan penyanyi ikonik negara berkenaan, Yoko Takahashi sebagai tetamu khas pada malam pembukaan.
Takahashi bergandingan bersama The Weeknd membawakan lagu popularnya, A Cruel Angel’s Thesis yang menjadi lagu tema pembukaan anime Neon Genesis Evangelion pada 1995.
Persembahan di Tokyo turut menyaksikan The Weeknd memperkenalkan lagu baharu yang menampilkan Takahashi, selain visual khas hasil kolaborasi artis Jepun, Yoko Taro yang menggabungkan elemen permainan video NieR:Automata dan Neon Genesis Evangelion.
Konsert berdurasi kira-kira dua jam itu turut membariskan sejumlah lagu popularnya termasuk Popular, One of the Girls, Less Than Zero, Out of Time (duet Tomoko Aran), Kiss Land dan Blinding Lights.
Duo hip-hop Jepun, Creepy Nuts dan DJ terkenal, ¥ØU$UK€ ¥UK1MAT$U turut menyertai persembahan pembukaan dan dijadualkan muncul sebagai tetamu khas di beberapa lokasi sepanjang jelajah Asia.
Segmen Asia itu turut menampilkan pelbagai elemen produksi hasil kerjasama The Weeknd dengan artis serta pereka tempatan.
Antara tarikan utama ialah arca gergasi setinggi 12 meter yang direka artis tempatan, Hajime Sorayama, sekali gus menjadi sebahagian daripada pentas persembahan.
Arca berkenaan dihasilkan secara ukiran tangan menggunakan polisterina oleh penggiat seni di Toyama sebelum disalut kemasan emas serta beberapa lapisan cat aluminium berkilat tinggi.
Mata arca berkenaan dilengkapi pencahayaan laser, manakala kesan asap turut keluar dari bahagian tapak tangannya, menjadikannya antara elemen paling mencuri perhatian sepanjang persembahan.
Selain itu, artis kontemporari Jepun, Tetsuya Nakamura menghasilkan topeng yang dipakai The Weeknd ketika membuat persembahan, meneruskan kerjasama mereka sejak 2023.
Turut terbabit dalam projek itu adalag pereka fesyen terkenal Jepun, Yohji Yamamoto menerusi label Yohji Yamamoto Pour Homme menghasilkan beberapa persalinan khas buat penghibur terbabit bagi jelajah tahun ini.
Kepulangan The Weeknd ke Jepun selepas tujuh tahun turut disambut menerusi pelbagai aktiviti promosi termasuk kemunculan di empat muka depan GQ Asia.
Dalam temu bual berkenaan, The Weeknd mendedahkan dia sedang dalam proses menghasilkan versi remaster album sulungnya, Kiss Land, yang banyak dipengaruhi budaya negara terbabit.
Malah, penyanyi berusia 36 tahun itu menegaskan tidak mempunyai perancangan untuk bersara daripada dunia muzik dengan berkata, “The Weeknd isn’t going anywhere.” – HIBGLAM.

