BAGI meraikan kemenangan sebagai TikTok Shop Creator of the Year, pempengaruh media sosial, Pinn Yang akan mendermakan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada sebuah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Chow Kit.
Menurut Pinn Yang, derma tersebut adalah bagi mewakili semua individu yang sudah mengundinya sehingga diumumkan pemenang bagi kategori itu pada TikTok Awards 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
“Pertama sekali, saya akan beri derma sebanyak RM50,000 kepada Yayasan Chow Kit mewakili semua yang sudah undi saya.
“Memang nak kongsikan benda baik dan kenduri juga satu idea yang baik, boleh saya jemput semua pengikut akaun media sosial ke majlis tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas TikTok Awards 2024 di sini, semalam.
Berkongsi perjalanannya sebagai pencipta kandungan atau content creator, dia hanya meletakkan sasaran dengan menghasilkan sebuah video sehari.
“Saya mula aktif dengan TikTok pada tahun lalu dan letak ‘target’ perlu ada satu video setiap hari.
“Saya tidak kisah video itu viral atau tidak serta teruskan sahaja cara itu. Inilah antara tip yang saya boleh kongsikan kepada sesiapa yang mahu menjadi content creator.
“Paling penting jangan putus asa kalau tiada atau kurang jumlah tontonan. Teruskan buat konten,” katanya lagi.
Pinn Yang dinobatkan sebagai TikTok Shop Creator Of The Year selepas kerap tular dengan menghasilkan video menjual barangan tetapi perlu membayar dengan pertukaran barang bersama individu yang ditemui secara rawak.
Sekiranya individu tersebut memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki, Pinn Yang akan menghadiahkan mereka dengan barangan jenama mewah sebagai tanda berterima kasih menyertai cabarannya. – HIBGLAM.