Adriana Adnan dalami ilmu usahawan pertanian

BUKAN sekadar mengendalikan sesi temu bual yang berlangsung, pelakon dan pengacara, Adriana Adnan turut berpeluang mendalami ilmu baharu mengenai dunia keusahawanan pertanian ketika mengendalikan Podcast Tani Istimewa MAHA Siri 1.

Adriana dilihat bijak mengawal suasana perbualan ketika menemu bual Pengarah Urusan MARDICorp, Zamir Ghazali yang dijemput sebagai tetamu jemputan.

Lebih menarik Adriana tidak melepaskan peluang mengajukan pelbagai persoalan yang dekat dengan mereka yang mungkin berminat untuk menceburi bidang pertanian.

Antara persoalan menarik yang dibangkitkan adalah mengenai tanggapan bahawa seseorang perlu mempunyai tanah sendiri dan modal yang besar sebelum boleh bergelar usahawan pertanian.

Pertanyaan Adriana membuka ruang kepada perkongsian lebih luas mengenai realiti sebenar industri berkenaan serta peluang yang mungkin selama ini tidak diketahui ramai.

Nak jadi usahawan pertanian mesti ada tanah sendiri? Modal pula kena puluhan ribu ringgit? Tanggapan itu mungkin menyebabkan ramai yang mempunyai minat untuk menceburi bidang pertanian memilih untuk tidak mencuba. Namun, bagaimana jika sebenarnya dua perkara tersebut bukanlah syarat utama untuk seseorang memulakan langkah sebagai usahawan pertanian?

Persoalan itu menjadi antara topik menarik yang dikupas dalam Podcast Tani Istimewa MAHA Siri 1 bersama Adriana dan Zamir.

Menerusi perbualan santai tersebut, persoalan mengenai “modal” untuk menjadi usahawan pertanian dilihat daripada perspektif yang lebih luas. Selain wang dan tanah, perkara yang tidak kurang penting ialah ilmu, minat, keberanian mencuba dan keupayaan mengenal pasti peluang.

Ini kerana dunia pertanian hari ini sudah jauh berubah dan tidak lagi terhad kepada aktiviti bercucuk tanam secara konvensional. Dengan perkembangan teknologi serta inovasi, semakin banyak ruang boleh diteroka oleh mereka yang mahu membina kerjaya dan perniagaan dalam sektor agro.

Malah, seseorang yang tidak mempunyai tanah sendiri masih boleh mencari jalan untuk terlibat dalam bidang ini melalui pelbagai bentuk kerjasama dan model perniagaan. Begitu juga dengan modal, kerana langkah pertama tidak semestinya memerlukan pelaburan besar-besaran.

Apa yang penting adalah memahami bidang yang ingin diceburi, membuat perancangan dan mengetahui ekosistem serta peluang sokongan yang tersedia. Dalam erti kata lain, jangan jadikan “tak ada tanah” atau “tak cukup modal” sebagai alasan untuk tidak bermula.

Menariknya, perbincangan Adriana dan Zamir turut memperlihatkan bahawa sektor pertanian sebenarnya mempunyai peluang yang lebih luas daripada apa yang sering dibayangkan.

Daripada pengeluaran makanan kepada teknologi, pemasaran, produk hiliran dan inovasi, pelbagai cabang boleh diterokai mengikut kemahiran serta minat seseorang. Jadi, mungkin “modal” pertama yang perlu dicari bukanlah wang, tetapi ilmu untuk tahu di mana peluang itu berada dan keberanian untuk mengambil langkah pertama.

Saksikan episod penuh di saluran YouTube rasmi MAEPS Serdang dan mungkin selepas ini, alasan “tak ada tanah dan modal” bukan lagi penghalang untuk anda mencuba dunia keusahawanan pertanian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok