DUNIA seni mungkin sudah berubah wajah, namun bagi aktor merangkap pengarah, AR Badul, usia bukan alasan untuk menutup tirai daripada terus berhubung dengan khalayak.
Pada usia 76 tahun, pelakon veteran itu memilih TikTok sebagai jendela baharu untuk mendekati peminat, khususnya mereka daripada generasi pernah membesar dengan filem lakonannya.
Menariknya, pemilik nama sebenar Armaya Aman Ramlie itu melihat platform berkenaan seperti memiliki saluran televisyen sendiri.
Menerusi TikTok, dia dapat mengetahui masih ramai peminat mengikuti perkembangan dirinya, malah ada antara mereka berkongsi cerita pernah menonton filemnya ketika zaman kanak-kanak.
“TikTok ini satu masalah saya sebab memang seronok. Kita dapat berhubung semula dengan pengikut dan waktu itulah mereka beritahu, ‘dulu saya zaman muda-muda tengok filem abang. Saya suka filem ini, saya suka filem itu.’
Dari situ saya rasa kita masih ada dalam arena. TikTok ini macam saluran televisyen kita sendiri. Kita boleh bercakap dengan orang, mereka tengok dan kita boleh berinteraksi secara langsung.
“Dahulu pernah keluar berita di TikTok mengatakan Badul sudah meninggal dunia. Waktu itu saya belum aktif TikTok, jadi saya tidak tahu. Sekarang kalau ada orang kata Badul meninggal semalam, esok pagi saya boleh muncul dan cakap, eh, aku hidup lagi!,” katanya kepada HibGlam.

DIKECAM ‘badan sudah bau tanah’ kerana masih bermain TikTok, Badul tidak ambil hati kerana sedar semua manusia yang hidup merupakan ‘bakal jenazah’.
Tujuan berbeza
Menyentuh perkembangan rakan artis seangkatan turut aktif menghasilkan kandungan dan melakukan siaran langsung dalam TikTok, seniman serba boleh itu mengakui pendekatannya berbeza.
Baginya, dia tidak menggunakan platform tersebut untuk menjual produk atau mengejar populariti sebaliknya,menjadi ruang membalas kembali sokongan peminat selepas puluhan tahun mereka menjadi penonton setia.
“Perkembangan saya dengan mereka berbeza. Mereka ada produk, saya tidak. Saya bukan juga membuat perkara tertentu semata-mata untuk mencari glamor.
Ini adalah platform untuk saya membalas kembali kepada pengikut dahulu. Dahulu mereka sanggup pergi tengok wayang, sekarang saya fikir, kenapa tidak saya luangkan masa untuk menghiburkan mereka pula?
“Bagi saya, TikTok adalah platform untuk kita berhubung semula dengan orang yang pernah menyokong kita dahulu,” jelasnya.
Keterbukaan Badul dalam media sosial bagaimanapun turut mengundang komen sinis, termasuk dakwaan dirinya sudah terlalu berusia untuk aktif dalam TikTok.
“Ada orang kata, ‘badan sudah bau tanah’ pun buat TikTok. Sebenarnya mereka tidak faham. Kita menghargai orang yang dahulu, ketika kita masih kecil-kecil, mereka menyokong dan menyukai kita.
TikTok memang ada orang seperti itu, tetapi kita tidak perlu bergaduh dengan mereka. Saya tidak marah. Saya cuma jawab, ‘esok sama juga, engkau dengan aku pun akan sampai ke situ. Kita semua bakal jenazah.’
“Biasanya orang berusia 50-an dan 60-an bercakap begitu.
“Itu bukan bahasa budak muda. Jadi, kita sebayalah dengan mereka dan kita faham cara hendak menjawab,” ungkapnya.

BADUL bersama karyawan dan tenaga penting yang sama-sama terlibat dalam video Surat Khabar Lama, sebuah karya sempena kempen Kembalinya Sang Lagenda untuk Hari Kemerdekaan anjuran OATLIFE Oat Milk.
Pendapatan TikTok
Kendatipun platform tersebut berpotensi menjadi sumber pendapatan melalui ‘gift’, Pengarah Terbaik di Festival Filem kelapan (FFM8) itu menegaskan aspek kewangan bukan tujuan utama dirinya aktif dalam TikTok.
Namun, apabila menerima hasil daripada platform berkenaan, dia memilih untuk mengasingkan sebahagian daripada pendapatan bagi membantu golongan memerlukan.
“Saya tidak ada matlamat ke arah itu. Kalau mereka beri, saya terima. Kalau dalam sebulan ada hasil, saya keluarkan 30 peratus untuk diberikan semula kepada ‘busker’ dan golongan kurang berkemampuan.
Bukan nak kata saya baik. Saya cuma tidak sangka mereka memberi. Saya pun tidak pernah berkempen meminta hadiah atau apa-apa. Itu memang cara saya,” tutupnya
Dalam perkembangan lain, Badul terlibat dalam iklan drama pendek sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 berjudul Surat Khabar Lama, sebuah karya bawah kempen ‘Kembalinya Sang Lagenda’ anjuran jenama tempatan OATLIFE Oat Milk.
Kempen tersebut diwujudkan sebagai penghargaan kepada penggiat seni veteran atas jasa serta sumbangan mereka terhadap industri hiburan tanah air, selain menjadi wadah memperkenalkan karya dan nilai budaya tempatan kepada generasi baharu.
Dalam naskhah arahan Raja Azrey itu, Badul membawa watak Uncle Sam, seorang penjual surat khabar lama menebal dengan mesej kasih sayang, perpaduan dan kemanusiaan.
Video pendek tersebut turut diserikan Santesh sebagai Arvind Raj, seorang usahawan muda, serta personaliti media Wong Xiao Jie sebagai May, penghubung antara dua generasi.
Surat Khabar Lama boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi OATLIFE mulai 22 Ogos lalu. – HIBGLAM
