‘Bukan tiada pelakon dibayar RM100,000 tapi kena lihat pasaran’

PELAKON dan pengarah, Nam Ron mempersoalkan tindakan segelintir pelakon muda meletakkan harga bayaran tinggi meskipun pengalaman serta rekod dalam industri masih belum kukuh.

Ujar Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 56, perkara itu mengganggu fikirannya selepas berbual dengan seorang rakan penerbit mengenai pengalaman  mencari pelakon utama untuk sebuah projek pembikinan filem.

“Saya berbual dengan seorang kawan, seorang penerbit baharu. Dia baru pertama kali menerbitkan filem, tetapi sudah lama berlakon. Dia mahu mengambil seorang pelakon muda sebagai hero dalam filemnya.

“Pelakon itu meminta bayaran RM100,000. Kawan saya terkejut kerana pelakon berkenaan memberitahu dia mempunyai pengalaman berlakon drama televisyen selama empat tahun.

“Kawan saya kemudian dengan nada kecewa berkata, ‘aku berlakon berpuluh tahun pun tidak pernah dibayar sebanyak itu.’ Saya mencelah, ‘followers dia berjuta kot.’ Kawan saya jawab pendek, ‘tak adalah, bro.’ Akhirnya dia menolak pelakon tersebut dan mengambil pelakon lain,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang filem Terbang itu, situasi terbabit membuatkannya tertanya-tanya mengenai asas penetapan bayaran RM100,000 bagi pelakon muda terbabit, terutama apabila pengalaman serta popularitinya masih belum berada pada tahap luar biasa.

“Persoalan saya, pengalaman masih cetek, tidak popular sangat, pengikut pun tidak sampai berjuta-juta, baru mahu berlakon filem tetapi berani minta RM100,000. Kenapa?

“Saya rasa mungkin ada kawan dia sudah memberi nasihat kurang tepat. Diam-diam kawan dia mungkin menjatuhkan dia dengan berkata, ‘Kau minta RM100,000, bro. Ini filem, bukan drama televisyen,’” ujarnya.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut kemudian menimbulkan pelbagai tafsiran sehingga ada pihak menyangka suami kepada aktres June Lojong itu mempertikaikan kewajaran pelakon menerima bayaran RM100,000 bagi sesebuah filem.

Menjelaskan perkara terbabit, Pengarah Terbaik Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 itu berkata bukan sesuatu mustahil bagi pelakon menerima bayaran enam angka, namun nilai berkenaan perlu selari dengan kemampuan seseorang membawa pulangan kepada sesebuah produksi.

“Ada juga yang salah faham mengenai pelakon meminta RM100,000 itu. Bukan tidak ada pelakon dibayar RM100,000 untuk berlakon filem.

“Cuma penerbit akan melihat dahulu pasaran seseorang pelakon. Contohnya, kalau pelakon itu sudah membuktikan filem lakonannya berjaya di pawagam dengan kutipan puluhan juta ringgit, pernah memenangi anugerah dan mempunyai pengikut ramai, penerbit berani membayar RM100,000.

“Lebih daripada RM100,000 pun ada. Tetapi kalau belum membuktikan apa-apa, agak sukar untuk penerbit membayar RM100,000,” jelasnya.

Rata-rata netizen turut memberikan pandangan berhubung isu berkenaan, dengan sebahagian menyifatkan nilai bayaran pelakon perlu mengambil kira pengalaman, populariti, kemampuan menarik penonton serta rekod sesebuah karya.

Namun, ada juga netizen berpendapat pelakon bebas menetapkan harga masing-masing selagi pihak produksi bersedia menerima tawaran tersebut, selain menganggap rundingan bayaran sebagai perkara biasa dalam industri seni. –HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok