LEBIH setahun berhijab, pempengaruh media sosial Maryam Durian Kimchi mengakui bukan mudah untuk kekal istiqamah dalam usaha menjadi Muslimah yang sempurna.
Hanya manusia biasa, Maryam atau nama sebenarnya Maryam Younarae, 31, berkata, keinginan untuk kembali dengan imej lama masih membuak-buak namun segala perasaan itu sedaya upaya cuba dilawan.
“Tipulah kalau cakap tak susah, sejujurnya hari-hari terlintas dalam fikiran untuk buka tudung tetapi iman saya setakat ini lebih kuat daripada keinginan itu semua.
“Bukannya tak teringin mahu makan daging khinzir, mahu minum alkohol, hari-hari perkara itu terlintas sahaja tetapi sekadar terlintas sahajalah. Fikir tidak dosa, buat baru dosa.
“Apa pun saya sendiri yang kena kuat hadapi semua itu, kena banyakkan bersabar dan berjuang melawan hasutan syaitan,” katanya kepada HibGlam pada majlis sidang media pelancaran video muzik Saranghae Kawanku, Blimey, semalam.
Ditanya sama ada suami, Rizal Ibrahim membantunya mendalami ilmu agama, ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu dirinya ikhlas belajar dan mengekplorasi sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Suami saya tidak cakap apa-apa, lagipun memang saya tidak suka.
“Biarlah saya istiqamah kerana diri sendiri dan atas kerelaan diri bukannya sebab ikut cakap orang.
“Saya juga mahu belajar dan membentuk diri dengan cara saya sendiri, bagi saya itu lagi bagus dan membantu saya untuk terus belajar,” ujarnya.
Terdahulu, Maryam menganut agama Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Imam Masjid Itaewon, Seoul, Korea Selatan pada 11 Julai 2019.
Maryam mendirikan rumah tangga dengan Ryzal atau Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 31, pada 15 Ogos 2019 selepas saling mengenal hati budi di Korea Selatan.
Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Rina yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM