PEMPENGARUH dan usahawan, Anes Ayunie menjelaskan maksud di sebalik kenyataannya mengenai frasa ‘perit nak bantu orang miskin’ yang sering disalah anggap, di mana kesukaran tersebut sebenarnya bukan terletak pada wang ringgit yang perlu dikeluarkan.
Sebaliknya, Ayunie mendedahkan perasaan kecewa itu timbul apabila bantuan yang disalurkan menyebabkan individu berkenaan menjadi terlalu bergantung harapan dan hilang usaha untuk mengubah nasib hidup sendiri.
“Jujur cakap perit bantu orang miskin ini bukan tentang kesusahan saya keluarkan duit sebab memang saya adalah orang yang kalau boleh setiap hari nak kongsi rezeki.
“Tapi memeritkan bila saya bantu, rupanya individu itu jadi lebih teruk. Banyak kali pula minta dengan pelbagai alasan.
Bila saya periksa mesej dia, dah tiga bulan saya tanggung dia. Bila dia rasa saya boleh tanggung, saya adalah ‘emergency fund’ yang dia boleh dapat duit, engkau takkan usaha keluar daripada kemiskinan tersebut,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Ayunie, bentuk bantuan yang dihulurkan seharusnya mendidik seseorang agar berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri, bukannya memupuk budaya mengharapkan ihsan berterusan.
“Bagi saya itu kita tak boleh tolong dengan bagi duit, kita kena ubah dia untuk jadi orang yang pandai cari duit pula.
Kalau tak, dia akan lebih miskin dan saya pun rasa macam saya merosakkan bangsa sendiri. Kalau fasal keluar duit, fasal tolong orang, tak apa.
“Lagi banyak, lagi saya suka, lagi berkat bisnes saya, lagi Allah bantu saya. Tapi dengan menjatuhkan bangsa sendiri tu tak bolehlah, peritlah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, usahawan muda itu turut meluahkan rasa syukur apabila produk keluaran kilangnya, Bariistar, melakar satu lagi pencapaian membanggakan menerusi penghantaran eksport perdana ke pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Sebenarnya sejak dua tahun lalu saya mula eksport produk itu ke luar negara. Bagi saya sangat cepat, dalam masa dua tahun kita dah berjaya pergi ke beberapa negara.
“Dalam masa sama kita berjaya membawa masuk produk itu dengan sah. Alhamdulillah.
“Sebelum ni kita dah pernah eksport kepada sembilan negara termasuklah Korea, China, Vietnam, Indonesia, Singapore dan USA,” kongsinya.
Majlis Flag-Off Penghantaran Kontena Produk Bariistar ke Amerika Syarikat yang berlangsung di Taman Perindustrian Halal MARA, Batu Caves, Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi simbolik kepada fasa baharu jenama tersebut melebarkan sayap di persada antarabangsa.
Penghantaran sulung itu melibatkan sebanyak 16,800 botol sirap Bariistar dalam pelbagai perisa dengan nilai keseluruhan mencecah RM840,000.
Kesemua produk berkenaan dihantar kepada M&C Barista Supply Company yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Bariistar di pasaran AS.
Menerusi pengembangan rangkaian pengedaran tersebut, Bariistar menyasarkan untuk menembusi antara 2,000 hingga 5,000 premis kafe, restoran, serta perniagaan makanan dan minuman (F&B) di AS, termasuk di beberapa bandar utama seperti Detroit, New York City, Chicago, Phoenix, San Francisco Bay Area, Philadelphia, Dallas dan Seattle. – HIBGLAM

