Kempen ‘menyala’, KITA FM terima pengiktirafan MBOR

BUKIT JALIL – KITA FM melakar pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Longest Cumulative Distance Covered in an Outdoor Running Campaign’ menerusi kempen KITA FM Satu Nama Satu Suara sempena sambutan Hari Malaysia Ke-63.

Menurut Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, kejayaan berkenaan bukan hanya pencapaian buat KITA FM, malah mencerminkan sokongan pendengar dari seluruh negara.

“Kami amat berbangga apabila KITA FM berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kempen begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

“Lebih istimewa, pencapaian ini diwujudkan bersempena Hari Malaysia Ke-63 sebagai simbol perjalanan, perpaduan dan semangat kebersamaan terus menyatukan rakyat negara ini.

“Setiap langkah sepanjang kempen ini melambangkan satu suara, satu semangat dan satu Malaysia. Pengiktirafan ini bukan sahaja milik KITA FM, malah milik semua pendengar bersama-sama menjayakan kempen ini di seluruh negara,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Priya, penglibatan kesemua stesen radio Astro Audio turut menjadikan kempen berkenaan lebih bermakna kerana perpaduan dapat diterjemahkan menerusi aktiviti santai, sihat dan dekat dengan masyarakat.

“Kejayaan ini menjadi lebih bermakna kerana lahir daripada penyertaan serta sokongan pendengar di seluruh negara.

“Apabila semua stesen radio Astro Audio berganding bahu menjayakan kempen ini, ini membuktikan perpaduan boleh dizahirkan melalui sebuah pengalaman menyeronokkan dan memberi impak kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Priya menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti hubungan erat antara Astro Audio dengan jutaan pendengar, selain menunjukkan radio masih mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan masyarakat.

“KITA FM merupakan antara usaha terbaik kami untuk menghargai kesetiaan pendengar kepada 13 stesen radio di bawah Astro Audio.

“Sambutan luar biasa diterima di setiap lokasi membuktikan radio masih mempunyai tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia,” jelasnya.

Antara tarikan utama kempen tahun ini ialah penganjuran larian komuniti membabitkan kesemua 13 stesen radio Astro Audio, dengan setiap stesen menganjurkan acara larian di negeri masing-masing.

Acara tersebut menawarkan jarak antara tiga hingga lima kilometer, sekali gus membuka ruang kepada ribuan pendengar untuk mengambil bahagian secara serentak di seluruh negara.

Gabungan penyertaan di setiap lokasi menghasilkan jumlah jarak kumulatif sejauh 63 kilometer, sekali gus melayakkan KITA FM menerima pengiktirafan MBOR.

Angka 63 kilometer dipilih sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia Ke-63, selari dengan tema Satu Nama Satu Suara serta membawa mesej perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat.

KITA FM memulakan siri siaran luar pada 29 Ogos 2026 sempena Raptai Penuh Hari Kebangsaan sebelum meneruskan siaran langsung pada 31 Ogos 2026 bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya.

Siri jelajah kemudian diperluaskan ke beberapa negeri terpilih menerusi pelbagai aktiviti bersama pendengar serta komuniti setempat.

Tidak terhenti pada aktiviti larian, KITA FM turut menganjurkan Mini Showcase KITA FM menampilkan persembahan hiburan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Sebagai platform menghimpunkan 13 stesen radio pelbagai bahasa di bawah Astro Audio, KITA FM turut melaksanakan beberapa inisiatif kemasyarakatan sepanjang jelajah berlangsung.

Antaranya termasuk program penggantian topi keledar secara percuma di lima lokasi terpilih iaitu Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

Pengiktirafan MBOR berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting buat Astro Audio dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti, selain membawa pengalaman radio lebih dekat, relevan dan bermakna kepada pendengar di seluruh negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok