PENYANYI dan komposer Yasin Sulaiman menarik semula kenyataannya mengenai dakwaan wujud salah laku dalam penjara selepas Jabatan Penjara Malaysia tampil menafikan perkara tersebut menerusi satu kenyataan hari ini.
Yasin, 50, berkata, kenyataan berhubung kewujudan penyalahgunaan dadah dan layanan berasaskan perbezaan kasta dalam penjara yang boleh ditentukan menggunakan wang ringgit adalah tidak benar sama sekali.
“Akhir-akhir ini saya ditemu bual bersama beberapa podcast dengan menceritakan pengalaman di penjara dan saya ada buat kenyataan seperti di dalam penjara ada dadah, hierarki, kasta dan kononnya keadaan boleh ditentukan dengan wang ringgit.
Jadi, saya ambil maklum pada hari ini Jabatan Penjara Malaysia telah tampil menafikan dakwaan saya dan apa yang saya nak lakukan pada petang ini adalah saya ingin menyatakan bahawa penafian yang telah mereka lakukan adalah benar.
“Semua yang saya katakan dalam podcast-podcast itu tak betul,” katanya dalam sebuah video.
Tambah Yassin, keadaan kesihatan diri sebelum menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta juga turut mempengaruhi cara dirinya memahami situasi yang berlaku di sekelilingnya.
“Semasa dalam penjara sebelum dimasukkan ke Hospital Bahagia, saya sebenarnya berada dalam fasa mania sakit bipolar disorder.
Mungkin akibat daripada itu yang buat saya tersalah anggap, tersalah faham, tersalah tafsir, melihat dan mendengar benda yang tak ada sehingga saya membuat kesimpulan yang tidak betul.
“Jadi, pihak Jabatan Penjara lebih tahu tentang penjara daripada saya,” katanya lagi.
Dalam video sama, dia memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia selain mengakui tidak pernah berniat untuk memburukkan nama baik organisasi tersebut.
Saya mohon maaf dan kesal malah tidak pernah bermaksud untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia.
“Para pegawai dan anggota di penjara mempunyai tugas yang berat. Mereka memikul amanah besar dan saya ucapkan terima kasih di atas segala khidmat yang mereka berikan kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.
Dia juga berharap setiap penjelasan yang diberikan dapat meleraikan semua persoalan dan kekeliruan berhubung kenyataan yang dibuat sebelum ini.
Apa yang saya kata dalam podcast itu tidak benar dan menarik semula semua kenyataan seperti salah laku yang berlaku di dalam penjara.
“Saya harap isu ini tidak akan berpanjangan lagi selepas ini,” katanya.
Hari ini, Jabatan Penjara menafikan dakwaan Yasin bahawa kehidupan dalam penjara sangat bergantung kepada wang dan pengaruh.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa, berkata sesetengah perkara negatif mungkin berlaku, namun pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang aktiviti itu.
Sebelum ini, Yasin menerusi beberapa temu bual podcast berkongsi pengalaman sepanjang berada di penjara.
Perkongsian tersebut mencetuskan perhatian ramai sehingga mendapat respons daripada Jabatan Penjara Malaysia.
Terdahulu, Yasin dibebaskan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 3 September lalu selepas mendapat rawatan selama tiga tahun empat bulan. – HIBGLAM

