PELAKON juga pengarah Farid Kamil menyifatkan kemerdekaan bukan sekadar ungkapan yang dilaungkan pada 31 Ogos setiap tahun sebaliknya menjadi janji setia rakyat Malaysia bagi memelihara kedaulatan negara.
Menurut Farid atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari, 45, setiap perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan perlulah terus dikenang bagi menyemat rasa cinta terhadap negara.
“Merdeka adalah amanah, bukan sekadar laungan.
“Hari ini kita mengenang Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Bapa Kemerdekaan dan generasi terdahulu yang berani memperjuangkan sebuah Malaysia yang bebas serta berdaulat.
“Sepanjang 69 tahun, amanah itu berada di tangan kita. Malaysia pada tahun 2026 sedang melangkah ke era baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Dia juga menyeru rakyat negara ini agar terus bersatu bagi membentuk dan mengekalkan keharmonian serta keamanan bersama.
“Marilah kita terus membina negara yang lebih maju, adil dan makmur dengan rakyat sebagai keutamaan.
“Kita tidak perlu menjadi sama untuk menjadi satu. Kita mungkin berbeza bangsa, agama dan latar kehidupan tetapi Jalur Gemilang menyatukan semua di bawah satu nama, Malaysia.
“Kita bukan sekadar mahu Malaysia dikenali tetapi juga dihormati dunia,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Farid turut berharap khalayak khususnya generasi muda memelihara kemerdekaan yang dicapai sejak 69 tahun lalu sebaik-baiknya.
“Kepada generasi akan datang, tugas kita bukan sekadar mewariskan sebuah negara tetapi meninggalkan Malaysia yang lebih baik daripada ketika diterima.
“Selamat Hari Kebangsaan 2026,” ujarnya. – HIBGLAM
