Aura sangat penting, bukan semua orang ada – Titi DJ

LAMBAKAN bakat baharu dalam industri muzik hari ini khususnya di Indonesia tidak mendatangkan rasa gentar terhadap barisan penghibur senior.

Malah, penyanyi-penyanyi sedia ada menyambut baik dan meraikan setiap individu yang hadir dengan niat menghargai karya seni negara Garuda tersebut.

Namun Titi DJ yang sudah bertapak dalam dunia seni suara sejak empat dekad lalu memberitahu, setiap bakat perlu hadir bersama aura bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri.

Ada beberapa faktor yang akan mempengaruhi seseorang untuk dikenali terutama vokal yang saya rasa di semua tempat pun mementingkan hal tersebut, bukan sahaja di Indonesia. Aura sangat penting dan bukan semua memiliki anugerah dari Tuhan itu.

“Namun, walaupun memiliki suara yang bagus jika dapat lagu yang tidak secocok pun tiada guna. Perkara ini sering terjadi kepada mereka yang lahir dari pertandingan realiti.

“Ada juga yang tak masuk pertandingan dan suaranya mungkin tidak sehebat orang lain tetapi tiba-tiba masuk industri terus meledak,” katanya kepada HibGlam.

Tuah juga penting

Tambahnya yang sering menjadi juri dalam pelbagai pertandingan nyanyian, selain aura dan bakat, tuah juga antara yang tersenarai dalam faktor yang mampu membuatkan seseorang mampu mara lebih jauh.

Dalam masa sama, dia berkata media sosial hari ini juga mampu membuatkan seseorang penyanyi itu kekal bertahan dalam industri atau sebaliknya.

“Semuanya juga akan berbalik kepada tuah dan rezeki. Adakalanya kami melihat penyanyi itu sangat istimewa tetapi sayang jika dia tidak mempunyai kekuatan mental yang kuat.

“Tambahan sekarang zaman media sosial tempat di mana semua orang boleh membuli dan bercakap apa sahaja. Jadi, mental perlu bersedia untuk menghadapinya.

Zaman kami dulu ada juga yang kutuk tetapi belum ada ‘haters’ atau lambakan komen negatif seperti sekarang. Sekarang kalau baca, seram dan boleh kacau fikiran,” katanya lagi.

Identiti

Titi yang popular dengan lagu Sang Dewi itu menambah, setiap penyanyi juga perlu mencari identiti dan genre yang bersesuaian dengan suara sendiri bagi memastikan nama terus relevan.

“Zaman sekarang selera muzik sangat berbeza dari dulu, ada macam-macam genre baharu muncul yang saya sendiri tidak jangka akan meletup.

“Antaranya gabungan hip-hop dangdut yang menjadi ‘hipdut’. Perlu pantas mengejar trend terkini dan rajin mempromosikan karya sendiri.

Cuma kalau nama sedang popular, jangan terlalu selesa sebab setiap hari dan setiap minggu akan muncul  penyanyi baharu. Jika lebih menarik, yang terdahulu akan tenggelam,” ujarnya lagi.

Dia juga sempat menamakan beberapa penyanyi era baharu yang mempunyai potensi berkembang lebih besar dalam industri seperti Mahalini dan Tiara Andini.

“Ada banyak nama dan mereka semua penyanyi yang bagus seperti Mahalini, Lyodra, Tiara, Ziva Magnolya dan Nadin Amizah.

“Paling bagus apabila sekarang ramai penyanyi solo lelaki seperti Sal Priadi berbanding dulu yang hanya boleh dikira dengan jari,” akhirinya yang bakal mengadakan konsert 3 Diva bersama Kris Dayanti dan Ruth Sahanaya di Kuala Lumpur pada 22 November depan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok