MUDA dan segar. Itu istilah yang boleh digambarkan tentang kualiti penyanyi baharu, Arish Mikael yang bersemangat mempertaruhkan karya muziknya dalam industri seni pada usia seawal 21 tahun.
Disebabkan suara seakan-akan penghibur tersohor Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, secara tidak langsung kemunculan Arish mencuri tumpuan ramai.
Rata-rata penonton yang menyaksikan penampilan sulungnya di konsert Temasya Anak Muda pada 6 Januari lalu teruja sebaik penyanyi dia beraksi di pentas.
Biarpun dipuji dan disamakan dengan nama besar dalam industri hiburan, anak jati Muar, Johor itu lebih selesa dikenali dengan identiti sendiri.
“Sejujurnya saya tidak jangka orang akan samakan suara saya dengan Allahyarham Datuk Sudirman kerana bagi saya tidak sama pun.
Perbandingan
“Pada awalnya, saya juga keliru mengapa orang buat perbandingan apatah lagi nama Sudirman sangat hebat, tapi saya mengambil perkara tersebut dari sudut pandang positif.
“Semoga tanggapan itu akan berubah seterusnya membolehkan saya fokus terhadap karya dengan acuan tersendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berkongsi mengenai produk muzik, Arish atau nama lengkapnya Arish Mikael Kamalruzaman, 21, baru sahaja melancarkan single berjudul Nukilanmu yang merupakan nashkah sulung selepas bernaung di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd.
Istimewanya, Nukilanmu merupakan single inspirasi daripada Allahyarham Loloq dan Datuk M.Nasir yang dihasilkan sendiri Arish bersama rakan baiknya, Muhammad Radzlan.
Nukilan
“Lagu Nukilanmu sebenarnya sudah dihasilkan ketika saya berada di sekolah menengah sekitar tahun 2018.
“Masa itu belum ada peluang untuk rakamkan secara profesional apabila hanya gunakan telefon bimbit bagi merakam dan kemudian muat naik dalam YouTube.
“Tak sangka pula Luncai Emas perasan video tersebut dan diminta berjumpa Datuk M.Nasir untuk berbincang,” kongsinya.
Biarpun baru setahun jagung, Arish tidak berputus asa mempertaruhkan Nukilanmu selain dalam perancangan merakamkan album perdana kelak.
“Saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi untuk lagu pertama tetapi berharap pendengar muzik mendengar karya saya di semua digital platform yang ada.
“Sekarang saya dalam proses menghasilkan lagu kedua yang dijangka menemui peminat selepas Hari Raya Aidilfitri dan kemungkinan kalau ada rezeki, saya akan muncul dengan sebuah album,” jelasnya.