JARANG sungguh drama Melayu terutama yang disiarkan menerusi penstriman Over-The-Top (OTT) menjadi sebutan ramai, namun berbeza berlaku terhadap From Saga With Love (FSWL).
Drama terbitan Viu Original itu meraih pujian ramai kerana jalan ceritanya yang berbeza ditambah pula lakonan mantap empat bintang utamanya, Siti Khadijah, Sophia Albarakbah, Ikmal Amry dan Fimie Don.
Naskhah tersebut mengisahkan seorang gadis bernama Karma lakonan Siti Khadijah, yang menipu untuk menjadi pembantu peribadi serta jurubahasa bagi pelakon terkenal, Bianca Rozario (Sophia) semasa lawatannya di Saga, Jepun.
Pelbagai usaha dan rancangan dilakukan Karma agar rahsia berkaitan penipuannya terhadap Bianca tidak terbongkar. Berjayakah misi Karma?
Episod pertama naskhah arahan Umie Salwa Omar itu turut tular dalam media sosial sehingga meraih pelbagai reaksi, rata-ratanya tergeletek hati dan memuji karya romantik komedi tersebut.
“Best sangat cerita ini, santai dan lakonan Siti Khadijah menjadi betul.
“Lawak cerita ini, akhirnya ada juga drama Melayu yang berkualiti,” puji netizen.