Cinta Dalam Sekam No.1, cipta fenomena luar biasa

DRAMA Viu Original, Cinta Dalam Sekam terus melakar kejayaan sendiri apabila kekal sebagai naskhah nombor satu di platform Viu Malaysia sepanjang enam minggu bersiaran.

Mula ditayangkan pada 16 Julai lalu, drama arahan Feroz Kader itu mencipta fenomena dalam media sosial apabila ramai membuat ramalan berkaitan jalan cerita, perkembangan watak dan pengakhiran cerita.

Bukan itu sahaja, gandingan serasi Siti Khadijah Halim sebagai Laila dengan Imran (Amir Ahnaf) turut menjadi bualan ramai.

Lakonan hebat Haidar Hasanudin dalam drama ini sebagai Shafiq juga antara yang mendapat pujian ramai.

Kejayaan Cinta Dalam Sekam juga dapat dilihat apabila lebih 200 orang hadir ke majlis tayangan istimewa episod 11 yang berlangsung di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang baru-baru ini.

Acara tersebut turut memberi peluang kepada peminat untuk menonton episod terbaharu, beramah mesra dan berinteraksi bersama barisan pelakon dengan lebih dekat.

Antara pelakon yang hadir termasuk Siti Khadijah, Amir, Haidar, Razak Ahmad, Riz Amin, Husna Mustaffa, Zarynn Min, Mas Anizan, Azhar Amir, Yuna Rahim, Ainina Ahmad B, Aaliyah Natasha, Shryrim Husni dan Lan Siro.

Momen lain yang mencuri perhatian ialah kejutan istimewa daripada Amir tampil mempersembahkan single sulungnya, Gadis Melayu Terakhir hasil ciptaan serta penulisan lirik oleh Seow Seng Tack, Aziz Harun, Mohsein Kush dan dirinya sendiri.

Drama 12 episod itu diterbitkan oleh Global Film Station Sdn. Bhd. dan kini kesemua episod Cinta Dalam Sekam kini boleh distrim secara eksklusif di Viu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok