PELAKON Siti Khadijah mendedahkan pernah melalui detik sukar apabila dimaklumkan pihak produksi terdapat segelintir artis enggan bekerjasama dengannya.
Ujar Siti atau nama sebenarnya Siti Khadijah Abdul Halim, 29, perkara itu memberi kesan mendalam terhadap emosinya sehingga membuatkan dia tertanya-tanya tentang kesalahan pernah dilakukan yang menyebabkan ada pihak enggan bekerja dengannya.
“Pihak produksi berjumpa saya dan berkata, ‘Siti, kami agak susah hendak mencari pelakon sesuai untuk awak. Ada segelintir artis tidak mahu bekerjasama dengan awak.’
Saya sangat sedih sampai menangis dengan teruk. Saya terfikir, apa sebenarnya saya buat sampai orang tidak mahu bekerjasama dengan saya langsung?
“Nama saya sudah tercalar dan seolah-olah semua orang tidak suka saya. Nama drama itu terpaksa saya rahsiakan,” katanya dalam sesi siaran langsung TikTok.
Tambah bintang drama Cinta Dalam Sekam itu, lebih mengguris perasaan apabila dia sendiri pernah dimaklumkan mengenai kata-kata seorang artis terhadap dirinya ketika berada di lokasi penggambaran.
“Saya berada di set penggambaran ketika itu. Kemudian ada orang beritahu saya mengenai artis tersebut, ‘Siti, awak tahu tidak dia cakap begini tentang awak?’
Saya hairan sebab saya tidak tahu apa kesalahan saya terhadap dia. Ketika itu emosi saya memang terganggu.
“Saya paling penat dan ‘noya’ dengan orang tidak mengenali saya tetapi bercakap buruk mengenai diri saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Siti menganggap dirinya seorang rakan serta teman sekerja mudah dibawa berbincang dan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
“Saya rasa saya seorang kawan baik, pelakon yang okey walaupun tidaklah bagus sangat, tetapi saya seorang yang seronok untuk bekerjasama.
Cuma orang tidak mahu memberikan peluang untuk bekerja dengan saya. Mereka terus membuat keputusan untuk tidak suka saya. Jadi, saya rasa rugi juga kalau tidak berkawan dengan saya.
“Tetapi apabila orang itu sudah membuat keputusan untuk tidak suka kepada saya, saya tidak boleh buat apa-apa,” jelasnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian netizen apabila ramai menyifatkan pengalaman dilalui Siti sebagai satu perkara berat bagi seseorang pelakon, lebih-lebih lagi apabila melibatkan reputasi serta peluang pekerjaan dalam industri.
Ada netizen meminta Siti supaya tidak terlalu memikirkan pandangan individu tertentu dan terus membuktikan kemampuan melalui karya, selain mengingatkan pentingnya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan cerita daripada pihak ketiga.
Dalam masa sama, sebahagian netizen turut berpendapat isu membabitkan penolakan sesama rakan artis seharusnya diselesaikan secara profesional agar tidak menjejaskan perjalanan kerjaya mana-mana pihak. – HIBGLAM
