TUAH buat Vanessa Renauld apabila kemunculannya dalam program realiti Sing! China 2023 di Zhenjiang TV awal bulan lalu berjaya memukau juri dan penonton.
Mempersembahkan lagu Riding The Wind nyanyian asal David Huang dengan gaya tersendiri, penyanyi berusia 23 tahun itu mendapat pujian melambung daripada keempat-empat juri program itu iaitu Emil Chau, Joker Xue, Will Pan dan Henry Lau yang juga anggota kumpulan Super Junior.
Lebih membanggakan, peserta The Masked Singer Malaysia musim pertama itu menjadi rebutan juri untuk direkrut menjadi anak didik atau protege mereka.
Ditebak mengenai pengalaman tersebut, Vanessa tidak menyangka akan menyaksikan pertempuran antara juri kerana fokusnya lebih kepada memberikan persembahan terbaik.
Saya tidak sangka keempat-empat juri ‘pusing’ untuk memilih saya kerana sebelum tampil beraksi saya memang tidak meletakkan harapan tinggi.
“Cuma saya mahu orang puas hati dengan persembahan pertama saya di China,” tuturnya yang memilih penyanyi legenda, Emil Chau sebagai mentornya.
Meski berjaya mara ke peringkat awal Sing! China 2023, Vanessa enggan terbuai dengan pencapaian itu sebaliknya mahu terbang lebih tinggi dalam pertandingan itu.
Justeru itu, fokusnya kini adalah meraih pengalaman sebanyak mungkin selain membina hubungan baik dengan penyanyi leuar negara demi masa depan yang lebih baik.
“Harapan saya sudah tercapai apabila ramai nampak bakat saya ketika sesi ‘blind audition’.
Melihat sokongan rakyat Malaysia, kawan-kawan dan keluarga kalau boleh saya mahu bertahan hingga pentas akhir.
“Menang atau kalah, tiada masalah. Saya cuma mahu timba pengalaman dan membina rangkaian perhubungan demi melebarkan sayap karier,” katanya.
Vanessa tidak menolak sekiranya dapat melakar nama di persada seni China suatu hari nanti seperti mana dicapai Shila Amzah.
“Saya ingin membina karier di negara sendiri dan masa sama tidak mahu sia-siakan peluang di negara orang,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.