“KALAU sudah curang, curang sahajalah. Tak perlu normalisasikan poligami sebagai konten murahan untuk pengaruh orang nak tunjuk bahawa cara tersebut betul.
Demikian kritikan pelakon Nabila Huda terhadap segelintir lelaki yang bertindak curang di belakang isteri untuk berkahwin dua dan bangga berkongsi dalam media sosial.
Menurut Nabila, mengahwini wanita lain sebagai isteri kedua sebenarnya satu kecurangan dan tidak seharusnya dijadikan sebagai konten murahan dalam media sosial seperti yang dilakukan seorang pempengaruh media sosial baru-baru ini.
“Kalau sayang dia (isteri pertama), kau tak akan curang di belakang dia pada awalnya,” katanya dalam aplikasi X semalam.
Bintang filem Rahsia itu juga berpendapat golongan lelaki yang masih mempunyai nafsu apabila melihat wanita lain selain pasangannya adalah tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
“Kalau masih lagi ada rasa bernafsu tengok perempuan lain, lebih baik jangan kahwin dulu.
“Berseronoklah dulu sepuas-puasnya! Kalau rasa sudah betul-betul bersedia nak jadi seorang suami setia pada satu-satunya isteri, barulah kahwin,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nabila berkata lelaki yang berkahwin lebih daripada dianggap sebagai seorang yang sukar untuk memenuhi janji menjadi suami yang setia.
“Seorang isteri memang akan taat dan jaga maruah suami tetapi sampainya hati selingkuh dengan kesetiaan seorang wanita bernama isteri?
“Kalau dengan isteri yang kau berjanji akan setia hingga mati pun dimungkiri, maknanya sampai ke akhir hayat jugalah dengan kedua, ketiga atau mana-mana perempuan lain.
“Sama juga dengan perempuan yang kononnya tak bersalah dalam situasi itu. Ingatlah, apa yang terjadi akan berbalik semula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu tiada wanita yang mahu berkongsi suami dengan orang lain dalam sebuah perkahwinan.
Untuk pengetahuan semua, tiada istilah berkongsi suami dalam kamus hidup kami dengan wanita lain.
“Kalau dia milik kami, selama-lamanya akan begitu. Kami hanya ingin seorang lelaki dan mahu menjadi hanya seorang wanita yang dimilikinya,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, tular dalam media sosial mengenai seorang pempengaruh media sosial yang berpoligami sedangkan sebelum ini pernah memberitahu akan setia dengan isteri pertamanya sahaja.
Tindakan tersebut meraih kecaman ramai yang berpendapat lelaki tersebut curang terhadap isterinya dan tidak seharusnya menggunakan alasan isteri pertama merestui perkahwinan keduanya. – HIBGLAM