“Memang itu saya. Saya jumpa bekas isteri. Kami dah berpisah dengan cara damai.”
Itu reaksi bekas jurulatih bola sepak, Datuk Zainal Abidin sekali gus mengesahkan ada bertemu dengan bekas isteri, Fyna Ahmad di sebuah kedai makan baru-baru ini.
Kata pemilik nama lengkap, Zainal Abidin Hassan perjumpaan tersebut diadakan bagi menyelesaikan beberapa perkara pasca perceraian.
Berjumpa dan pergi makan sebab nak selesaikan beberapa masalah,” kata Pengarah Teknikal IFC itu dalam satu wawancara bersama Astro Arena, baru-baru ini.
Dijentik kenyataan berbunyi kalau ingin makan lain kali usahlah berdua-duan oleh hos Hafizal Ahmad, jawab Zainal, 61, bersahaja: “Hal peribadi.”
Terdahulu, tidak sampai tiga bulan selepas didakwa bercerai, Zainal dan bekas isteri Fyna yang juga merupakan seorang penyanyi dilihat bersarapan bersama di sebuah restoran makanan Melayu di Damansara, minggu lalu.
Fyna yang dihubungi Kosmo! Online Ahad lalu enggan memperincikan tentang pertemuan dengan bekas suami dan memohon agar diberikan ruang.
No, no, no! (Tidak, tidak, tidak)! Saya tak nak cakap apa-apa. Saya mohon difahami.”
“Terima kasih sebab telefon tapi lebih baik saya tidak boleh beri sebarang komen,” kata Fyna, 30.
Ketika pertemuan, Fyna yang berambut paras bahu awalnya duduk secara berdepan dengan Zainal, tetapi kemudian mengubah kedudukannya lebih hampir dengan bekas suaminya.
Susulan video dikongsikan dalam Instagram dan TikTok HibGlam, netizen tertanya-tanya mengenai status perceraian yang pernah didedahkan anak perempuan Zainal, Zahira Aisyah.
Malah ada dalam kalangan pengikut laman sosial beranggapan Zainal dan Fyna atau nama sebenarnya,Nur Syafinaz Jebat sudah kembali rujuk.
Terdahulu, berita perceraian Fyna dan Zainal, 61, mula dihidu awal Mei lalu dan disahkan saudara terdekat Zainal, dua minggu kemudian. – KOSMO! ONLINE