MESKI sudah berusia lebih tiga dekad memperjuangkan muzik ‘trash metal’, kumpulan legenda Cromok masih menerima sambutan hangat dalam kalangan peminat pelbagai generasi.
Tidak pernah berkubur bahkan masik aktif biar hanya bergerak dengan dua anggota asal, Sam dan Karl teguh meneruskan perjuangan dengan mengadakan konsert pada 7 Disember ini di Zepp, KL.
Lebih bermakna, konsert yang dinamakan The Real Cromok bakal disertai dua pemain gitar legenda, Hillary Ang bersama Man Kidal.
Berkongsi makna di sebalik penganjuran konsert yang julung kali tersebut, Karl menyifatkan malam persembahan bakal menjadi penceritaan sejarah Cromok sejak penubuhan.
“Kami akan kongsikan mengenai perjalanan, siapa Cromok serta barisan pemuzik asal.
Kiranya konsert kali ini seperti sebuah penceritaan, di mana kami juga akan mainkan beberapa video mengimbau perjalanan kumpulan ini,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai keyakinan mengadakan sebuah persembahan bertaraf konsert, pemilik nama lengkap Khairul Anuar Shariff itu yakin, Cromox masih ada nilai di mata peminat walaupun dua anggota iaitu Allahyarham Miji dan Allahyarham Din sudah pergi mengadap Ilahi.
“Keyakinan kami mengadakan konsert ini kerana masih ada permintaan.
Konsert juga adalah satu industri. Jika ada keuntungan dan balik modal tentu penganjur akan undang lagi.
“Kalau tiada sambutan, peminat tidak akan dapat lihat kami beraksi ‘live’ lagi selepas ini,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, Cromok kali ini akan disertai Hillary dan Man Kidal bagi memenuhi cadangan peminat tegar memandangkan kedua-dua figura itu pernah diundang bermain gitar dalam album Cromok sebelum ini.
“Peminat minta kami undang Hillary dan Man Kidal, jujurnya saya sendiri tidak pernah membuat persembahan secara langsung dengan mereka.
Jadi, kami penuhi permintaan ramai. Malah Cromok sendiri tak sabar melihat kerjasama secara langsung tersebut.
“Bagi peminat yang nak tahu apakah yang bakal kami persembahkan nanti sama ada seperti dalam album, kena saksikan sendiri konsert itu,” jelasnya.
Cromok akan mempersembahkan 18 lagu yang pernah mengukuhkan mereka, selain menampilkan beberapa lagu baharu yang pertama kali disampaikan secara langsung. Antara lagu yang paling dinantikan adalah tribute khas kepada Allahyarham Din dan Miji. Segmen berkenaan mungkin antara momen paling beremosi.
Tiket-tiket konsert berharga RM188, RM288, RM338 dan RM888 (Royal Box) kini dibuka untuk jualan.
Tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.therealcromok.com atau hubungi talian 011-1329 7822 untuk maklumat lanjut. – HIBGLAM