‘Persetujuan semua juri, bukan hanya ketua juri saja’

PENYANYI Aisha Retno yakin pencalonan lagu nyanyiannya, Diari Air Mata dalam Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dipertimbangkan secara adil dan berdasarkan keputusan sebulat suara barisan juri, bukannya pilih kasih.

Aisha menegaskan bahawa proses penilaian dijalankan secara telus ramai juri profesional yang dilantik, bukannya bergantung kepada keputusan ketua juri, Ajai yang juga bertindak sebagai komposer bagi lagu tersebut.

“Inya-Allah ada pencalonan ini dapat buka mata ramai bahawa saya ada repertoire lagu bersama penulis lain.

“Untuk ketua juri, kita ada ramai. Semua lagu dicalonkan adalah berdasarkan persetujuan semua juri.

“Bukan hanya ketua juri sahaja,” katanya kepada HibGlam pada Majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik ke 25 (AIM25), semalam.

Selain itu, pelantun lagu Sutera itu bersyukur kerana karya berkenaan akhirnya mendapat pengiktirafan yang sewajarnya walaupun sebelum ini dianggap kurang diberi perhatian.

“Saya sendiri sangat bersyukur untuk Diari Air Mata sebab lagu itu paling ‘underrated’ saya pernah ada buat masa ini.

“Dari segi penulisan Diari Air Mata satu-satunya lagi tak dinukilkan sendiri, sepenuhnya ditulis Ajai. Bagi saya untuk lagu pop ini, ramai menyokong lagu ini tapi belum masa yang tepat.

Tak Adil setahun baru naik. Memang saya cuba untuk ‘push’ lagu ini dan ramai juga yang suka tapi belum diketengahkan,” jelasnya.

Bercakap mengenai pengalamannya pertama kali tercalon dalam AIM, Aisha berharap pengiktirafan tersebut dapat menyuntik semangat buat dirinya untuk terus berkarya, terutamanya selepas melalui pelbagai dugaan sebelum ini.

“Ini pertama kali pencalonan di AIM. Saya rasa sangat bersyukur, terima kasih AIM25 dan saya masih lagi anak muda seni yang perlu belajar banyak lagi.

“Walau apapun orang kata dan pernah ada tragedi sana sini, insya-Allah ada manis-manis untuk AIM. Dapat Top 5 pun sangat gembira.

“Paling sebak sebab boleh bawa adik sendiri selaku produser, insya-Allah yang baik-baik.

“Ada orang kata lagu saya pelik tapi saya buat ini untuk industri, bukan buat saya. Terima kasih kepada sokongan yang tak henti-henti,” katanya sambil menyeka air mata.

Semalam, Aisha diumumkan tercalon sebanyak lapan kategori seperti Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Elektronik/ Dance Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan, Album Terbaik dan Lagu Tradisional Terbaik.

Dua lagi pencalonan adalah melalui karya penulisannya iaitu kategori Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok