DIPUJI sebagai antara bakat muda dengan sikap kerja serta disiplin baik oleh artis senior, pelakon Ezzany Jasny meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menimba pengalaman daripada barisan anak seni berpengalaman sepanjang berada dalam industri hiburan.
Ujar Ezzany atau nama sebenarnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, pengalaman bekerja bersama pelakon senior bukan sahaja membantu mematangkan dirinya sebagai anak seni, malah mengajarnya tentang kepentingan menjaga hubungan baik dengan semua kru di set penggambaran.
“Apabila masuk dalam industri ini, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dengan pelakon-pelakon lama. Kebanyakan hero saya terdiri daripada pelakon sudah berkahwin, mempunyai nama dan lama berada dalam industri.
“Perkara itu turut mematangkan saya. Kalau kita mahu bekerja dengan orang, kita perlu beramah mesra dan saling menegur. Boleh sahaja buat hal sendiri, tetapi kita tetap perlu bertegur sapa kerana mahu bekerja dalam suasana harmoni serta gembira di set.
“Kadang-kadang kita membawa karakter berat, tetapi tidak bermakna kita perlu menyendiri atau menjauhkan diri daripada orang lain. Nanti orang akan salah faham,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang drama Impiana: Karma itu, hubungan baik bersama pelakon senior seperti Lisdawati dan Fauzi Nawawi turut memberi banyak manfaat kepadanya, malah kedua-duanya sering berkongsi nasihat serta memberi sokongan di luar set penggambaran.
“Contohnya, saya dengan Lisdawati dan Fauzi Nawawi sudah banyak kali bekerja bersama. Mereka selalu berpesan supaya berhati-hati dalam setiap perkara. Banyak nasihat mereka berikan.
“Saya ambil teguran serta nasihat mereka secara positif kerana bagi saya, mereka lebih berpengalaman dan sudah melalui banyak perkara dalam industri. Jadi, setiap pesanan itu sangat bermakna,” ujarnya pada watch party drama Bulan Henti Bicara, di sini, malam tadi.
Ditanya sama ada pernah berdepan layanan kurang baik daripada pelakon senior sepanjang berada dalam industri, Ezzany bersyukur kerana setakat ini tidak pernah mengalami pengalaman sedemikian.
“Setakat ini, tidak ada. Sebab itu saya rasa semakin bersemangat. Sejujurnya, saya tidak pernah menjangka akan menjadi pelakon. Malah, pada awalnya saya sendiri tidak mahu berlakon.
“Saya seperti dipaksa mencuba, jadi saya fikir tidak salah untuk berikan peluang kepada diri sendiri. Alhamdulillah, semakin tahun berlalu, saya menerima maklum balas baik, diberikan karakter menarik dan berpeluang bekerja dengan orang-orang hebat.
“Jadi, saya mula terfikir mungkin ini rezeki saya dalam industri seni. Kalau sudah diberikan peluang, mengapa tidak saya cuba? Alhamdulillah, sepanjang pengalaman saya, semuanya baik dan sangat menyokong,” jelasnya.
Sebelum ini, Azhan Rani dan Lisdawati antara pelakon senior memuji Ezzany sebagai bakat muda berbakat yang mempunyai sikap profesional ketika berada di set penggambaran. – HIBGLAM
