Dilahirkan pra matang, bayi Marissa Dania meninggal dunia?

TIDAK pernah mengesahkan spekulasi kehamilan, kecoh pempengaruh sensasi, Marissa Dania Hakim dilaporkan berdepan kematian bayi sulungnya yang dilahirkan pramatang.

Difahamkan, anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim dilaporkan bersalin ketika kandungan baharu memasuki bulan keenam minggu lalu.

Marissa yang juga isteri kedua Ahmad Aslam sebelum itu dikatakan mengadu sakit perut sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan. Begitupun, permata hati sulung mereka meninggal dunia ketika dilahirkan dan selamat dikebumikan sehari kemudian.

Perkara tersebut tidak dihebahkan kepada orang luar seperti mana desas-desus kehamilannya.

Menerusi semakan Instagram, wanita berusia 19 tahun itu memuat naik gambar hidangan yang kebiasaannya untuk wanita berpantang.

Dalam hantaran lain Insta Story, dia turut berkongsi foto suaminya serta beberapa rakaman memori sepanjang bulan ini.

Terdahulu, ketika diundang ke majlis pelancaran sebuah produk pasangan terbabit tetap mengunci mulut ketika diminta mengesahkan khabar Marissa hamil.

Marissa bernikah dengan Ahmad Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sekali gus bergelar madu kepada isteri pertama lelaki terbabit iaitu Umisya Mazlan.

Sementara itu, usaha Kosmo! Online mendapatkan pengesahan Abby dan Norman belum berhasil apabila panggilan serta mesej tidak dibalas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok