5 bintang K-pop tawan Jepun

PERMAINAN industri hiburan di Jepun dan Korea Selatan sama naik. Boleh dikatakan kedua-dua saling berlumba-lumba melahirkan banyak bintang dan kumpulan pop popular.

Meskipun ada persamaan, penyanyi-penyanyi berkumpulan kelahiran Korea dan Jepun tetap ada konsep tersendiri.

Dalam masa sama, banyak juga kumpulan dari negara kimchi yang berjaya menembusi pasaran muzik di Jepun, sekali gus mengukuhkan nama di negara tersebut.

Daebak menyenaraikan beberapa selebriti Korea yang memahat nama di negara matahari terbit sehingga melancarkan lagu berbahasa Jepun.

BoA

MULA debut pada 2000 ketika berumur 14 tahun, penyanyi BoA merupakan artis kelahiran agensi hiburan gergasi Korea Selatan, SM Entertainment.

Tidak lama selepas kemunculan, dia melakukan konsert pertama di Jepun pada 2001 dan tahun sama menandatangani kontrak bersama label, Avex Trax untuk pasaran muzik di negara matahari terbit.

Nama penyanyi berusia 37 tahun itu semakin dikenali selepas melancarkan single keempat berjudul Listen To My Heart pada 2002.

Pada tahun sama, pemilik nama sebenar Kwon Bo-ah diberi kepercayaan membawakan lagu penutup siri anime terkenal yang berjudul Every Heart – Minna No Kimnochi.

TVXQ

JUNIOR kepada BoA, kumpulan TVXQ dikatakan mengikuti jejak seniornya memacu nama hingga ke negara yang terkenal dengan keindahan sakura itu.

Pada awalnya, TVXQ menandatangani kontrak dengan Avex Trax untuk memulakan debut di Jepun bersama single berjudul Stay With Me Tonight pada 2005.

Kemunculan kumpulan yang dikenali sebagai Tohoshinki dalam industri Jepun tidak mendapat sambutan baik namun karier mereka semakin dikenali selepas melancarkan single ke-16 berjudul Purple Line pada 2008.

Lebih indah, duo itu memecahkan rekod peribadi apabila dapat melancarkan lagu bahasa Jepun mereka berjudul Miroctic.

Malah, mereka juga menghadiri acara tahunan Jepun iaitu K?haku Uta Gassen yang menjadikan mereka artis Korea pertama yang muncul dalam acara tersebut.

Girls’ Generation

SIAPA yang tidak kenal kumpulan Girls’ Generation yang memulakan debut pada 2010 dengan lagu Genie versi Jepun selepas menandatangani dengan EMI Records Japan.

Kumpulan yang juga dikenali sebagai SNSD itu memeriahkan industri muzik Jepun dengan single Mr. Taxi/Run pada 2011.

Pada bulan berikutnya, mereka melancarkan sebuah lagi single berjudul Gee dan menjadi kumpulan wanita luar negara yang pertama memasuki tangga teratas muzik Jepun.

Selepas itu, mereka meneruskan kerjaya dengan mengadakan jelajah Jepun ketiga sehingga berjaya menarik 550,000 penonton.

KARA

BERMULA dengan debut di Jepun pada tahun 2010, kumpulan Kara berjaya memenangi gelaran artis rookie Jepun di tempat pertama dan Pendatang Baharu Terbaik dalam kategori antarabangsa di Anugerah Cakera Emas Jepun.

Kejayaan yang dicapai sejak awal kerjaya seni itu sudah pasti melonjakkan nama Kara lebih gah dalam industri muzik Jepun.

Kara kekal aktif meneruskan kerjaya muzik di Jepun walaupun selepas kedua-dua ahli itu memilih untuk tidak meneruskan kontrak mereka.

Twice

MEMPUNYAI tiga ahli yang berasal dari Jepun, tidak hairan sekiranya kumpulan Twice sangat popular di negara tersebut.

Memulakan debut pada 2015, mereka tidak mengambil masa lama untuk melebarkan sayap dengan mengeluarkan album Jepun pertama.

Dalam masa kurang sebulan, mereka berjaya menjual 200,000 album untuk debut dan tahun sama Twice berjaya mengeluarkan video muzik single baharu mereka, One More Time. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok