TREND melakukan prosedur pembekuan sel telur atau egg freezing kini bukan lagi satu perkara asing dalam kalangan selebriti wanita di Indonesia.
Jika suatu ketika dahulu isu berkaitan kesuburan dan perancangan keluarga sering dianggap sebagai topik tabu untuk diperkatakan secara terbuka, sekarang tidak lagi.
Beberapa selebriti ‘papan atas’ semakin berani berkongsi perjalanan peribadi mereka demi mengamankan masa depan reproduktif.
Kali ini, HibGlam merangkumkan beberapa selebriti seberang yang secara terbuka berkongsi melakukan prosedur pembekuan sel telur untuk kebaikan masa hadapan.
Dewi Perssik

PENYANYI dangdut, Dewi Perssik turut menjalani prosedur pembekuan telur di sebuah pusat perubatan di Jakarta pada tahun 2024.
Penyanyi berusia 40 tahun itu memutuskan untuk membuat pembekuan sel telur kerana merancang untuk memiliki cahaya mata pada masa hadapan.
Dia menyifatkan langkah itu sangat tepat sementara sel telurnya masih dalam keadaan sihat dan berkualiti.
Langkah tersebut sekali gus memberi bayangan pelantun lagu Indah Pada Waktunya itu sudah bersedia mendirikan rumah tangga.
Luna Maya

MENYEDARI usia tidak lagi muda, pelakon Luna Maya membuat persiapan agak berani apabila melakukan proses pembekuan sel telur.
Menurut pemilik nama lengkap Luna Maya Sugeng itu, proses tersebut dilakukan pada tahun 2021 ketika berusia 37 tahun.
Alasannya mudah, dia tidak mahu dibebani soal usia yang meningkat sekali gus tidak tahu bila akan diberi rezeki mempunyai anak.
Selvi Kitty

PENYANYI Selvi Kitty memutuskan menjalani prosedur pembekuan telur sebagai persediaan untuk hamil pada masa akan datang.
Ketika keputusan dibuat pada 2025, dia memaklumkan usia menjadi salah satu faktor utama melakukan egg freezing.
Selvi juga peka bahawa kualiti sel telur wanita menurun seiring bertambah usia
Pelakon filem Jagal Teluh itu bagaimanapun terkejut apabila dirinya disahkan hamil selepas bernikah pada penghujung 2025.
Sebelum ini, Selvi pernah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Abizard hasil perkahwinan terdahulu dengan bekas suami.
Olla Ramlan

PELAKON dan penyanyi Olla Ramlan mengambil langkah awal untuk bersedia hamil lagi pada masa hadapan menerusi kaedah pembekuan sel telur.
Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi membuka peluang untuknya menimang cahaya mata sekiranya kembali mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, dia tidak akan menyesal sekiranya perancangan tersebut tidak kesampaian.
Bintang drama Walid itu mempunyai seorang anak lelaki, Sean Mikael Alexander, hasil perkahwinan pertamanya dengan Alex Tian.
Menerusi perkahwinan keduanya bersama Aufar Hutapea pula, mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Aleena Naira Hana Hutapea dan Adreena Naira Hana Hutapea. – HIBGLAM
