Suri gugurkan nama Cruise?

TINDAKAN anak kepada bintang Hollywood, Tom Cruise iaitu Suri menggugurkan nama keluarga Cruise mengundang spekulasi bahawa itu penamat rasmi hubungan antara anak dan bapa.

Menurut dokumen awam yang diperoleh Page Six, wanita berusia 20 tahun itu menggunakan nama Suri Noelle ketika mendaftar di Carnegie Mellon Universiti di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Oktober 2024.

Biarpun tiada rekod pertukaran nama difailkan di Pennsylvania, perubahan itu dipercayai dilakukan lebih awal di New York.

Suri sebenarnya sudah mula menggunakan nama Noelle sejak majlis graduasinya sekitar Jun 2024, dipercayai sebagai penghormatan kepada nama tengah ibunya, Katie Holmes, selain mahu membina identiti sendiri tanpa dibayangi populariti bapa.

Sebenarnya hubungan Suri dengan Cruise dingin selepas pelakon filem Top Gun itu didakwa memilih tidak bertemu anaknya selepas bercerai dengan aktres Katie Holmes pada 2012.

Kini, Suri memberi sepenuh perhatian terhadap impian menjadi pelakon dengan mengikuti pengajian teater muzikal di School of Drama, Carnegie Mellon University.

Dia turut dijadual membintangi pementasan Midsummer! iaitu adaptasi moden karya William Shakespeare yang bakal dipersembahkan di Edinburgh Festival Fringe 2026.

Cruise dan Holmes berkahwin pada 2006 sebelum bercerai enam tahun kemudian. Sejak perpisahan itu, Suri dibesarkan Holmes sepenuhnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok