‘Kalau sunyi saya boleh telefon bekas isteri’

MESKI sudah bercerai, pelawak dan pelakon Harith Iskander tetap menjaga hubungan baik dengan Dr. Jezamine Lim demi kebaikan dan tanggungjawab ke atas tiga anak mereka.

Kata pemilik nama penuh Harith Iskander Musa, 57, pihak luar yang berasa kekok melihat hubungan mereka kekal mesra seperti dahulu.

“Kami tak pernah kekok pun untuk bekerjasama. Kami masih pergi bercuti bersama. Kalau sunyi saya boleh telefon bekas isteri.

“ Cuma orang lain sahaja yang rasa pelik bila melihat kami masih berbaik meski sudah bercerai .

“Kehidupan kami selepas bercerai masih lagi sama, cuma kami perlu mengambil langkah baharu dan cuba belajar berjalan sekali lagi.

“Itu bukan perkara baharu buat saya kerana saya juga pernah melalui pengalaman tidak mempunyai pasangan sebelum berkahwin, “ katanya ditemui pada prosiding tuntutan hadanah dan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Harith memberitahu anak-anak turut menerima keputusan perceraian mereka dengan baik selain memahami situasi itu dan menyifatkannya sebagai isu orang dewasa.

“Penerimaan anak-anak sama sahaja kerana mereka sudah melihat berita perceraian itu dalam media sosial.

“Lagipun sejak awal lagi kami sudah jelaskan kepada mereka kenapa perlu ke mahkamah dan ada liputan media.

“Sebelum ini pun mereka sudah terdedah dengan situasi ada peminat datang untuk bergambar bersama ketika kami bercuti.

“Mereka faham ini adalah dunia ayah dan ibu mereka. Tapi kalau di rumah kami biasa sahaja,” jelas Harith.

Terdahulu pada 25 Julai Harith dan Dr Jezamine sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur atas sebab tiada lagi persefahaman antara mereka.

Harith dan Jezamine, 41 yang mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dikurniakan tiga zuriat iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11 dan Zydane Zayne yang berusia 9 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok