KOMITED menjayakan watak, pelakon Haneesya Hanee sanggup melaburkan separuh gajinya untuk penyediaan ‘wardrobe’.
Itu dilakukan demi memenuhi keinginan ibunya, Nor Sakuraneeda yang mahu melihat karakter Haneesya atau Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 24, hidup selain memberi kepuasan kepada diri sendiri.
“Separuh gaji saya memang untuk beli baju shooting sebab mommy (ibu) mahu begitu sampai saya pernah minta jangan membazir duit beli baju tetapi dia mahu karakter yang lebih hidup.
“Sebenarnya ini untuk kepuasan diri sendiri juga sebab adakalanya baju yang disediakan tidak kena dengan cita rasa, karakter atau visi yang kita bayangkan.
“Daripada mood saya tidak baik mengenai baju yang tak sesuai, baiklah saya terus bawa baju sendiri dan fokus kepada skrip,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu turut mendedahkan pernah diperli pasukan ‘wardrobe’ kerana sering membawa baju sendiri ke set penggambaran.
“Ada orang ‘wardrobe’ perli sebab bawa baju sendiri tetapi saya diam sahaja dan bukan jenis respons sebab yang dengar perkara tersebut mommy saya.
“Saya pun tidak pernah ‘show off’ (menunjuk-nunjuk) tetapi memang duit kebanyakannya habis ke drama,” ujarnya lagi. -HIBGLAM