KEMELUT rumah tangga pelakon Nora Danish dengan pasangan Nedim Nazri akhirnya menemui noktah apabila mengambil keputusan untuk berpisah secara baik hari ini.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, mengakui keputusan itu bukan satu perkara mudah.
“Manusia mempunyai dugaan yang berbeza tapi untuk capai tahap reda ini bukan mudah.
Mungkin disebabkan pengalaman terdahulu mengajar kami agar tidak mementingkan diri untuk menyakitkan hati orang lain, hati anak-anak kami.
“Kami tetap sayang anak-anak kami,” katanya dalam satu video di Instagram.
Menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam tadi.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, memberitahu perpisahan itu merupakan keputusan bersama dan mengharapkan agar khalayak dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
Saya dan bekas suami sudah mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang dirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini, malam ini.
“Apa yang paling penting, tujuan kami untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif.
Jadi, saya harapkan anda mendoakan yang terbaik buat kami sekeluarga. Saya mengharapkan tiada teori mengenai perpisahan kami. Ini kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak,” katanya.
Memetik Berita Harian, Nedim atau nama lengkap Mohamed Nedim Mohamad Nazri, 41, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Menerusi prosiding itu, Nedim hadir tanpa peguam sementara Nora pula diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Badri Idris. – HIBGLAM