‘Kalau cemburu saya tak urus perkahwinan Azri, Noora’

PELAKON Ellie Suriaty tampil mendedahkah punca hubungan bekas suami, aktor Azri Iskandar dan Datuk Noora Kay berakhir disebabkan wanita itu tidak bersetuju dengan penundaan tarikh majlis pernikahan.

Ujar Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 54, bekas suaminya itu kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem dan terpaksa mencari satu tarikh baharu untuk menghalalkan hubungan dengan kekasihnya.

“Saya rasa mereka tak jadi kahwin bukan sebab tidak serasi tetapi lebih kepada tiada jodoh. Saya lihat Datuk Noora Kay bersungguh-sungguh mahu bernikah dengan Azri.

“Pihak kami (Ellie dan Azri) minta tangguhkan majlis tersebut sebab Azri sedang menjalani penggambaran filem.

“Barangkali kesibukkan Azri itu menyebabkan Noora mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan. Mungkin pihak Noora menunggu terlalu lama untuk Azri habiskan filem tetapi pihak kami tidaklah mahu buat keputusan tergesa-gesa,” katanya kepada HibGlam.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga berkata, perbincangan antara kedua belah pihak sudah dilakukan namun berasa kurang senang apabila dilihat berat sebelah.

“Fasal hubungan mereka putus itu saya dapat tahu daripada Azri, saya juga ada tidak bersetuju beberapa perkara namun perbincangan kedua-dua belah juga sudah dilakukan.

“Tapi perbincangan itu banyak ke arah Noora, bagi saya itu bukan perbincangan. Kita kena dengar cakap dia sahaja. Saya juga ada minta Azri pujuk Noora tapi Azri tak mahu sebab katanya masing-masing sudah tua dan tiada masa untuk merajuk.

“Kami juga tidak setuju dengan permintaan jemputan hanya 150 orang, ini bukan malam gala. Saya memanglah pemain industri kreatif yang cergas, memang cipta drama tetapi dalam realiti kehidupan saya tak suka drama,” tegasnya panjang lebar.

Ellie berkata demikian ketika ditemui pada tayangan malam gala filem Abnormal Buas yang berlangsung di GSC, Mid Valley Mall, malam tadi.

Pelakon filem Memoir Seorang Guru itu juga mengakui terkejut apabila Noora memintanya menjadi penyambut tetamu sewaktu majlis pernikahan.

Dalam masa sama, Ellie turut menafikan timbul rasa cemburu terhadap hubungan Azri dan bekas kekasihnya.

“Saya terkejut apabila dia suruh saya tunggu dekat dewan untuk sambut tetamu masa dia akad nikah.

“Selepas itu, buat apa saya nak cemburu (dengan mereka), kalau saya cemburu saya tidak menguruskan perkahwinan mereka.

“Kalau tanya saya keadaan Azri sama ada sedih atau tidak, saya tengok dia hanya bertenang. Boleh kata dia sudah terima dan tidak perlu kejar untuk berkahwin,” katanya.

Noora merupakan ibu tunggal yang memiliki dua cahaya mata.

Azri dan Ellie pula bercerai talak satu pada 17 Mei 2022 selepas 19 tahun hidup bersama. hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua zuriat iaitu Azrell Omar, 19, dan Nur Azreen, 15 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok