MENJELANG hari perkahwinan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, persiapan Bella Astillah agak lega apabila segala persiapan kini sudah mencapai 70 peratus.
Menurut Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, apa yang merisaukannya ketika ini hanya berhubung susun atur kedudukan para tetamu dan jemputan untuk hadir pada hari bahagianya nanti.
“Sudah tentu saya ada rasa tertekan tetapi saya percaya semua orang ada fasa ini dalam hidup. Antara perkara yang merisaukan saya ketika ini adalah untuk mengatur kedudukan para tetamu.
“Selebihnya saya serahkan kepada perancang perkahwinan untuk uruskan protokol di hari perkahwinan nanti,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Truedan Malaysiaz di IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Tinggal sebulan sahaja lagi menjelang hari ijabkabulnya, kata Bella dia kini masih sibuk melunaskan baki kerjanya.
“Saya anggap ini semua rezeki dan saya bekerja untuk anak-anak. Sebelum saya berkahwin saya ada penggambaran drama dan juga terlibat dengan sebuah teater.
“Saya cuba menjaga kesihatan dengan memastikan saya mempunyai waktu tidur yang cukup dan menjaga pemakanan saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Bella mengakui dia mula rasa berdebar memikirkan kehidupan baharu yang bakal dilalui selepas bergelar isteri.
“Rasa debar itu melibatkan banyak perkara, pertamanya selepas berumah tangga akan ada kehidupan berbeza sedikit.
“Tapi saya rasa perasaan berdebar ini adalah sebahagian daripada proses, jadi saya lalui saja,” ujarnya.
Bella dan Syed Saddiq, 34, mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dan mengumumkan bakal bernikah pada 10 Oktober depan. – HIBGLAM
