‘Jalan cerita seakan gambarkan semua yang berlaku baru-baru ini’

MESKIPUN masih dihujani kecaman, pelakon Ruhaines terus mencuri perhatian ramai apabila mempromosikan drama lakonannya bersama penyanyi, Aliff Aziz iaitu Terjerat.

Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, berkata, naratif naskhah yang bakal ditayangkan 26 Jun nanti itu mempunyai persamaan dengan situasi yang berlaku baru-baru ini.

“Sebuah naskhah berat dan penuh emosi yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Sebuah penceritan yang pada saya membawa maksud sangat dalam dan tidak pasti suratan atau kebetulan, jalan ceritanya seakan-akan menggambarkan apa yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya dalam Instagram.

Tidak hanya itu, dia berpesan agar jangan mudah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada individu lain kerana hidup ini penuh dengan kejutan.

“Kesimpulannya, jangan terlalu percayakan sesiapa dan usah mudah cepat menilai.

“Hidup ini penuh dengan ‘plot twist’. Bukan semua yang dipaparkan adalah benar. Hanya Allah SWT yang mengetahui.

“Semua yang kita dengar ialah pandangan, bukan fakta. Apa yang kita lihat ialah perspektif, bukannya kebenaran,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, perkongsian tersebut turut mendapat tanda suka daripada Aliff.

Selain Ruhainies dan Aliff, drama arahan Azmi Hatta itu turut dibintangi Fendy Bakry dan Jaja Iliyes.

Drama tersebut mula menjadi sebutan ramai apabila menjadi titik permulaan hubungan cinta yang terjalin antara Aliff dan Ruhainies.

Rentetan itu, Aliff dan Ruhainies ditangkap berkhalwat di sebuah kondominium di ibu negara pada 8 Mac lalu.

Kecewa dengan perkara tersebut, isteri Aliff iaitu Bella Astillah nekad untuk berpisah sebelum kedua-duanya disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok