KETIKA sebilangan selebriti mengejar populariti bagi mengukuhkan ekonomi diri, Meerqeen memilih jalan berbeza apabila mahu kejayaan yang diraih mengubah masa depan keluarga tercinta.
Di sebalik sorotan kamera, tawaran lumayan dan nama yang semakin kukuh dalam industri hiburan, pelakon berusia 25 tahun itu sebenarnya sedang memikul amanah yang jauh lebih besar daripada sekadar mengejar kemasyhuran.
Sebagai anak sulung daripada lima bersaudara, pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu meletakkan keluarga sebagai sebab utama dia bekerja keras, malah sanggup memperlahankan kerjaya lakonan ketika namanya masih di papan atas.
“Selagi saya masih solo dan belum berkahwin, prinsip serta keutamaan saya adalah keluarga. Saya bekerja untuk famili,” ujarnya membuka bicara.

meletakkan keluarga sebagai prioriti, Meerqeen tidak kisah bekerja keras demi memastikan ibu bapa dan adik-adiknya dapat menikmati hidup lebih selesa.
Pilih kerja keras
Hadir ke Studio Media Mulia sempena promosi naskhah baharu Viu Original, Dia Perempuan Sialan bersama teman gandingan, Hannah Delisha dan bintang Indonesia, Caitlin Halderman, riak wajah menunjukkan keterujaannya menerima reaksi positif penonton terhadap siri thriller itu.
Menyambung bicara mengenai keluarga, jejaka tinggi lampai itu mendedahkan tahun ini hanya menerima satu projek lakonan selepas terpaksa menolak beberapa tawaran disebabkan menunggu sebuah naskhah yang mengambil masa hampir 10 bulan untuk direalisasikan.
Namun, apabila projek berkenaan akhirnya ditangguhkan ke tahun depan Meerqeen memanfaatkan tempoh itu untuk berehat daripada penggambaran dan hanya fokus menyambut tawaran jenama serta mengurus perniagaan.
“Saya pilih untuk ‘berehat’ dan bekerja dengan beberapa jenama pula. Saya rasa kenapa tidak ambil cuti berlakon setahun untuk ‘recharge’ diri serta buat duit untuk keluarga?
“Keputusan ini saya ambil bukan kerana sudah jemu berlakon, sebaliknya mahu menggunakan masa yang ada untuk mengukuhkan kedudukan kewangan.
“Kalau saya tidak bekerja, saya rasa beban itu bukan pada saya tetapi kepada keluarga saya. ‘End goal’ saya dalam hidup adalah saya nak buat mak dan ayah saya bersara,” katanya.

MATLAMAT hidup Meerqeen adalah membahagiakan ibu bapa dan adik-adiknya.
Bahagiakan keluarga
Akuinya yang terdiam seketika sebelum menghela nafas panjang, impian mahu melihat orang tuanya bersara awal disimpan kemas tanpa pernah memaksa insan kesayangannya itu meninggalkan pekerjaan mereka.
“Saya tidak pernah cakap kepada mereka, ‘bersaralah’, tetapi itu matlamat yang saya simpan. Kalau boleh, saya nak mak dan ayah saya duduk rumah selepas berpuluh tahun mencari rezeki.
“Itu antara impian saya, mahu mereka hidup senang. Bagi saya bekerja keras pada usia ini bukan satu bebanan sebaliknya buatkan saya lebih menghargai setiap sen,” tambahnya dalam nada tenang.
Menariknya, meskipun sudah membeli kediaman sendiri di Kuala Lumpur, Meerqeen masih belum berpindah daripada rumah keluarganya di Bangi.
Akuinya, bukan kerana takut berdikari, tetapi ada seorang insan kecil iaitu adik bongsunya, Shaqeel Shauqeen yang berusia lima tahun memerlukan kehadirannya.
Selain Syakir, dia mempunyai tiga lagi adik masing-masing berusia 22, 20 serta 17 tahun yang tentu sahaja melihat dirinya sebagai contoh.
Demi memastikan semua individu kesayangan mempunyai sandaran, Meerqeen juga sudah mula menyusun perancangan perniagaan kerana sedar kerjaya lakonan mempunyai batas waktu.
“Saya tahu sebagai pelakon kita ada ‘time limit’. Saya harap boleh bekerja sehingga umur 70 tahun, tetapi saya tahu hakikatnya kita ada had.
“Jadi saya sudah bersedia dengan pelan jangka panjang dengan keutamaan bisnes tudung untuk dua adik perempuan saya sebagai usaha membantu mereka mempunyai sumber kewangan sendiri ketika melanjutkan pengajian.
“Saya mahu adik-adik saya berjaya dan menjadi Muslim yang baik. Kalau saya boleh buka jalan untuk mereka, saya akan buat,” ujarnya dalam nada ceria.
Ditanya pula mengenai batas keterbukaan berkaitan famili, Meerqeen mengakui lebih berhati-hati menyusun perjalanan, termasuk mengurangkan perkongsian kehidupan peribadi dalam media sosial kerana tidak mahu segala-galanya menjadi tatapan umum.

MEERQEEN bergandingan dengan Hannah Delisha dan Caitlin Halderman dalam siri terbaharu Viu Original, Dia Perempuan Sialan. – IQBAL ROSLI
Jaga privasi
“Saya rasa cukuplah orang tahu siapa keluarga saya. Untuk ‘over-share’ dalam media sosial, tidaklah. Itu bukan diri saya.
“Bagi saya biarlah kita hormati privasi mereka kerana yang terbabit dalam arena seni ini cuma saya seorang. Adik-adik pun selesa cuma saya yang ke depan,” kongsinya.
Pada masa sama, Meerqeen tidak menolak adakala sikap tertutup membuatkan segelintir individu menganggap dirinya sombong.
“Pernah jumpa seseorang yang sebelum ini mengutuk saya kerana menyangka saya sombong.
“Selepas bertemu, dia sendiri mengakui saya tidak seperti yang disangkakan. Orang selalu ‘judge a book by its cover’,” tambahnya.
Dalam mengejar impian, pengembaraan menuju kejayaan itu turut menuntut Meerqeen mengorbankan masa bersama rakan dan ruang peribadi.
Baginya, pengorbanan tersebut bukan hal luar biasa kerana sesiapa sahaja yang serius membina kerjaya pasti berdepan situasi sama.
“Dahulu ketika saya bekerja dalam bidang peruncitan pun sama. Kalau kita fokus kepada kerja, masa dengan kawan-kawan dan masa peribadi memang akan tertangguh.
Bagi saya, perkara itu normal,” katanya.
Meerqeen juga menolak tanggapan bahawa kehidupan anak seni semuanya indah hanya kerana masyarakat melihat sisi glamor dan bayaran lumayan.
“Kalau senang, ramailah jadi pelakon. Tidak ada kerja yang mudah dalam dunia ini. Jadi wartawan pun susah, jadi pelukis pun susah,” ulasnya lagi.
Mengimbas ketika populariti yang datang selepas fenomena drama Melur Untuk Firdaus sekitar empat tahun lalu, dia tidak menolak kerdipan lensa pernah membuatkannya hilang arah apabila perhatian terhadapnya melonjak secara mendadak.
“Ketika Melur Untuk Firdaus jadi perhatian, saya hilang diri. Saya rasa terkejut dengan apa yang berlaku. Yang datang kepada saya bukan ribu-ribu, tetapi juta-juta. Sampai Indonesia.
“Dalam keadaan itu, banyak peluang terlepas daripada genggaman kerana terlalu tenggelam dalam kejutan populariti yang hadir secara luar biasa.
“Jika boleh nasihatkan diri sendiri, saya akan kata ‘perlahan-lahan ye Meerqeen’. Namun, mujur saya kembali sedar. Ini semua atas nasihat orang terdekat iaitu pasukan dan keluarga,” tambahnya.
Bercakap tentang naskhah terkini lakonannya, Dia Perempuan Sialan, Meerqeen membawakan watak sebagai Syawal yang tidak mempercayai kuasa mistik.
“Pengalaman mistik atau gangguan mistik di set penggambaran, bagi saya tidaklah keterlaluan. Setakat ‘orang’ panggil nama saya sahaja.
“Di set penggambaran, tak tahu nak cakap kena kacau atau tidak sebab kami semua seronok berlakon cerita ini.
“Selepas pengarah kata ‘cut’, kami semua gelak-gelak untuk hilangkan rasa seram itu,” katanya menutup bicara.

Mekap artis Hannah: Luke Zainal Hijab: Natasha Farina
Mekap Artis Caitlin: Manda @elmandazuhairy
Rambut: Manda Mekap Meerqeen: Sharman @PLIKA
Rambut: Keith Ong

