Insya-Allah akan lebih menarik, bermanfaat – Ustaz Don

PENDAKWAH bebas, Ustaz Don berjanji untuk meningkatkan lagi kualiti dan pengisiannya dalam berdakwah demi menegakkan syiar Islam selepas ini.

Kataya, dia hanya ingin menyampaikan ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat walaupun kadang-kadang berdepan dengan salah faham yang tidak disengajakan.

“Pertama, kamu tak boleh guna skil sama di peringkat seterusnya. Kata orang, kalau ada ujian, orang itu nak naik ‘tingkat’ (martabat).

“Tahap penyampaian dan pengisian saya insya-Allah akan lebih menarik dan bermanfaat. Seperti mana saya mahu anak saya berguru dengan orang yang baik, saya akan jadi guru terbaik buat anak anda,” katanya.

Tidak menyimpan dendam serta akur digugurkan serta merta, Don yang pernah melanjutkan pengajian di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir dari 2005 hingga 2008 itu turut memaafkan semua orang atas salah faham mereka.

Katanya, dia mengambil petikan kitab tulisan Imam An Nawawi Al Bünyan’ı berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith Syadah Lubab Al Hadith yang menghuraikan (Syarah) Kitab Lubab Al Hadith, bukan hadis seperti didakwa sehingga perkongsian itu dimanipulasi.

Khamis lalu, nama Don kembali hangat diperkatakan susulan perkongsian manfaat memandang wajah guru lebih baik berbanding bersedekah 1,000 ekor kuda di jalan Allah ketika kembali muncul dalam program Salam Baitullah di TV1.

Kemudian Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman membuat pengumuman program yang berbaki empat episod itu tidak lagi menampilkan pendakwah terbabit.

Ini susulan dakwaan mengatakan Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

Sebelum ini, pendakwah terbabit direhatkan selama seminggu daripada program sama selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok