Madu Atau Racun: Bahana yang terlarang lebih berimpak

PANAS sungguh penangan drama Madu Atau Racun. Bukan kisah berebut suami yang membuatkan penonton naik angin, sebaliknya babak lakonan ‘isteri-isteri’ yang lakonan Elisya Sandha dan Uqasha Senrose didakwa menormalisasikan hubungan sejenis atau LGBTQ mengundang kemarahan ramai.

Biarpun atas tiket seni, perkara terkutuk jangan sampai diberi gambaran seakan-akan biasa, meskipun dalam sebuah drama. Atas alasan ‘banyak pengajaran’ dan ‘tonton sampai habis’ belum cukup untuk menyejukkan kemarahan.

Penonton mempersoalkan babak yang sudah ditayangkan, jadi perkara itulah yang perlu dijawab. Jika mahu bercerita tentang tanggungjawab suami beristeri dua, bagaimana babak sebegitu membantu menyampaikan mesejnya?

Drama arahan Eyra Rahman terbitan MIG Production House itu menampilkan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha dalam kisah konflik poligami. Namun, selepas beberapa klip tular, perbincangan beralih daripada pergolakan suami isteri kepada persoalan sensitiviti agama dan batas kandungan yang disajikan menerusi platform penstriman iQIYI.

Bantahan tersebut memperlihatkan kebimbangan penonton terhadap cara hubungan terlarang dibingkaikan dalam sebuah karya. Mereka tidak mahu unsur yang bercanggah dengan pegangan agama dipersembahkan sehingga kelihatan lumrah atau mengundang penerimaan tanpa persoalan

Kebimbangan inilah yang perlu dijawab oleh penerbit, bukan sekadar dianggap kegagalan khalayak memahami cerita.

Bagaimanapun, memaparkan sesuatu perlakuan dalam drama tidak semestinya bermaksud menyokongnya. Karya boleh mengangkat kesalahan, konflik moral dan realiti yang tidak menyenangkan. Bezanya terletak pada olahan, adakah penonton dibantu memahami persoalan tersebut atau dibiarkan dengan gambaran yang mengaburkan pendirian cerita?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan menyatakan pendirian menolak penayangan drama berkenaan dan melahirkan kekesalan terhadap elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan.

Pendakwah selebriti, Ustaz Wadi Annuar pula menyeru supaya penghasilan serta penayangan drama yang disifatkannya menormalisasikan hubungan songsang dihentikan. Beliau bimbang bahawa perkara yang dilarang agama akhirnya dianggap biasa oleh generasi akan datang.

Elisya yang membawakan watak isteri kedua bagaimanapun, meminta penonton mengikuti keseluruhan 12 episod sebelum membuat kesimpulan.

“Banyak benda yang mungkin kita boleh ambil sebagai iktibar.

“Mungkin sekarang kita belum nampak keseluruhan mesej, namun percayalah kena tengok sampai habis kerana ada ketika ia lebih daripada sebuah cerita,” ujarnya dalam perkongsian di media sosial.

Selain pihak produksi, MIG Production House memohon maaf, platform penstriman iQIYI juga akur untuk melakukan suntingan terhadap drama Madu Atau Racun atas permintaan pihak berwajib.

Pihak iQIYI menerusi wakilnya, Dinesh Ratnam berkata, mereka memahami garis panduan Lembaga Penapisan Filem (LPF), selain sedia memberikan kerjasama.

“Kita akan akur dengan saranan agar dibuat suntingan,” katanya ketika sesi pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini.

WAKIL iQIYI Malaysia, Dinesh Ratnam akur dan menyambut baik saranan Finas drama Madu Atau Racun disunting semula agar tidak menyiarkan sebarang adegan yang menyinggung sensitiviti agama dan budaya di Malaysia.

Antara wakil agensi lain yang terlibat dalam sesi tergempar ini termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

Hasil perbincangan, iQIYI diminta menyunting kesemua 12 episod termasuk enam episod terawal yang sudah disiarkan bermula 14 Ogos lalu sebelum dinilai panel untuk mendapatkan kelulusan dan ditayangkan kembali kepada umum.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Daud, tayangan boleh disambung selepas mendapat kelulusan.

Keputusan itu membuka ruang pembetulan, bukannya pengharaman kekal terhadap drama berkenaan.

Kesediaan MIG dan iQIYI mematuhi keputusan tersebut perlu diterjemahkan kepada suntingan yang menangani perkara dipertikaikan tanpa menjadikan jalan cerita bercelaru.

Tanggungjawab menjelaskan isu dan penambahbaikan juga terletak pada penerbit serta platform, bukan pelakon semata-mata kerana kelulusan cerita adalah daripada mereka.

Wajah di skrin tidak seharusnya menanggung seluruh kemarahan terhadap keputusan kandungan yang melibatkan banyak pihak.

Cadangan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia menerusi Datuk Jurey Latiff Rosli supaya kerajaan, penggiat industri dan pengendali platform penstriman duduk semeja wajar diberi perhatian.

Dialog tidak sepatutnya menunggu sebuah karya menjadi kontroversi. Garis panduan yang jelas dan kefahaman bersama diperlukan lebih awal supaya batas sensitiviti tidak hanya dibahaskan ketika keadaan sudah panas.

Satu hal yang ingin ditegaskan industri juga tidak perlu melihat bantahan ini sebagai tuntutan supaya semua drama menjadi selamat, mendatar dan bebas konflik.

Boleh sahaja berani memilik subjek atau cerita di luar kotak, tetapi olahannya harus sesuai dengan garis panduan serta penerimaan rakyat Malaysia.

Madu Atau Racun sepatutnya menjadi pengajaran bahawa penonton bukan sekadar mahu tahu apa yang berlaku pada penghujung cerita. Mereka turut menilai nilai yang dibawa sepanjang perjalanan itu.

Jika niatnya mendidik, ketelitian mesti terlihat dalam penceritaan. Jangan sampai pengajaran hanya disebut ketika mempertahankan karya, sedangkan babak ‘kecil’ dan terlarang yang lebih meninggalkan impak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok