2
MENGHORMATI sensitiviti masyarakat, saluran penstriman iQIYI akur untuk melakukan suntingan terhadap drama Madu Atau Racun yang didakwa mencetuskan kontroversi bagi memenuhi permintaan pihak berkaitan.
Pihak iQIYI menerusi wakilnya, Dinesh Ratnam berkata, mereka memahami garis panduan Lembaga Penapisan Filem (LPF), selain sedia memberikan kerjasama.
“Kami sedia mengambil langkah sewajarnya dengan melakukan perubahan serta menyunting mana-mana babak yang dirasakan tidak sesuai untuk tontonan umum.
Susulan cadangan, pihak kami bersama MIG Production House selaku penerbit akan duduk semeja bagi meneliti semula enam episod awal yang sudah disiarkan.
“Kita akan akur dengan saranan diberikan (sunting),” katanya ketika sesi pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), hari ini.
Antara wakil agensi lain yang terlibat dalam sesi tergempar itu termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
Hasil perbincangan, iQIYI diminta menyunting kesemua 12 episod termasuk enam episod terawal yang sudah disiarkan bermula 14 Ogos lalu sebelum dinilai panel untuk mendapatkan kelulusan dan ditayangkan kembali kepada umum.
Pada masa sama, menurut Dinesh, naskhah itu mempunyai mesej positif berkaitan isu poligami, bukan menonjolkan hubungan sesama jenis seperti disangkakan ramai.
Cerita ini tiada kaitan dengan aktiviti songsang, sebaliknya membawa mesej mengenai tanggungjawab suami apabila berkahwin dua dan peranan isteri-isterinya.
“Banyak pengajaran yang boleh diambil menerusinya. Cuma apabila klip-klip yang ditayangkan disalah tafsir, situasi bertukar menjadi isu sensasi,” katanya.
Dinesh juga mengakui pihaknya mengambil serius kecaman dan kebimbangan yang disuarakan masyarakat susulan beberapa babak dalam episod terawal drama berkenaan.
Terdahulu, kontroversi Madu Atau Racun tercetus selepas beberapa klip daripada drama berkenaan tular di media sosial, sekali gus mengundang reaksi kurang senang khalayak yang menyifatkan terdapat kandungan menyentuh sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.
Drama arahan Eyra Rahman yang menampilkan Aliff Aziz, Elisya Sandha serta Uqasha Senrose itu mengangkat kisah rumah tangga, konflik poligami serta hubungan antara suami dan isteri. – HIBGLAM
