Ben Amir siap siaga tawan Kem Pangkalan Everest

PELAKON  Ben Amir kini rancak melakukan persediaan ekspedisi mendaki Kem Pangkalan Everest atau Everest Base Camp (EBC) di Khumjung, Nepal bulan depan.

Kata Ben atau nama lengkapnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 34, bagi merealisasikan impian itu dia melakukan latihan berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) sehari di atas treadmill dengan membawa beg galas seberat 10 kilogram (kg).

“Sebaik selesai penggambaran, saya akan memulakan ekspedisi ke Everest Based Camp pada bulan depan.

Sebagai persiapan pada waktu lapang saya melakukan latihan berjalan kaki sejauh 10km sambil membawa bebanan seberat 10kg. Cara ini sebagai latihan untuk membiasakan diri nanti.

“Memang teruja dan tidak sabar untuk mendaki EBC kerana itu merupakan salah satu impian saya,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Bawah Payung Awam, semalam.

Pelakon filem Polis Evo 3 itu turut memberitahu, dia akan meneruskan penggambaran sebaik pulang daripada pengembaraan ke EBC yang memakan masa 17 hari.

“Sebaik sahaja balik nanti saya akan masuk ke set penggambaran dan diharapkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Saya akan berada di sana 17 hari. Setiap hari akan memperuntukkan masa mendaki tujuh hingga lapan jam,” katanya.

Meski sudah bersedia fizikal dan mental, Ben tidak menafikan terselit rasa bimbang di hati seandainya berlaku sebarang perkara tidak diingini ketika pendakian nanti.

“Sudah tentu saya akan mengambil langkah berhati-hati sebab balik daripada ekspedisi itu nanti terus terlibat dengan penggambaran.

“Tidak dinafikan perasaan bimbang itu ada. Tetapi untuk misi ini kami menggunakan khidmat mereka yang profesional. Dia yang akan membantu dan beritahu apa yang perlu dilakukan di EBC nanti,” katanya.

Untuk info, EBC terletak di ketinggian 5,364 meter dengan memiliki pemandangan sekitar kawasan pergunungan Himalaya.

Lokasi tersebut menjadi tempat tarikan buat pengembara dan pendaki gunung yang gemarkan cabaran aktiviti lasak. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok