SEGALA urusan melaksanakan sebahagian rukun haji dipermudahkan, ratu rock negara Ella menzahirkan rasa syukur apabila telah selesai berwukuf di Arafah dan Mina, semalam.
Ujar Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 57, dia menggunakan peluang tersebut sebaiknya untuk memanjatkan doa selain menyifatkan momen indah itu sebagai kenangan termanis buat dirinya dan suami.
“Alhamdulillah hari ini (semalam) 10 Zulhijjah, saya dan Azhar (suami) telah selesai sempurnakan sebahagian daripada Rukun Haji.
“Saya juga sempat abadikan momen sewaktu wukuf di Arafah dengan curahan doa yang baik buat anda semua agar jadi sebahagian daripada kenangan manis buat memori kita bersama.
“Terbanglah ke sini mencari abadi, terbanglah ke mari, mencari hakiki. Jagalah dirimu selalu. Selamat Hari Raya Aidiladha, Peace.Love.Rindu,” tulisnya menerusi hantaran dalam Instagram.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut mendoakan pelantun lagu Sembilu dan suaminya itu mendapat haji yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan.
“Semoga mendapat haji mabrur Ella, jaga kesihatan dan semoga mendapat keberkatan atas apa yang dilakukan,” komen netizen itu.
“Diam-diam sahaja Ella pergi haji, tiada publisiti atau canang satu dunia, moga haji mabrur buatmu Rock Queen,” demikian komen seorang lagi netizen.
Selain Ella, selebriti tanah air yang turut terbang ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji, antaranya Datin Alyah, Datuk Amy Search Faizal Ismail dan Johan. – KOSMO ! ONLINE.