MENERUSI jenama aiskrimnya, Dr. Bombay, Snoop Dogg kini mencari penguji rasa antarabangsa yang bertanggungjawab mencuba produk, selain membantu pasukan memahami trend makanan dan cita rasa pengguna seluruh dunia.
Lebih menarik, pekerjaan berkenaan boleh dilakukan secara jarak jauh dan terbuka kepada pemohon dari pelbagai negara dengan tawaran gaji mencecah AS$10,000 (RM42,000).
Penyanyi rap itu bekerjasama dengan syarikat sumber manusia global, Deel, bagi menguruskan proses pengambilan serta urusan pentadbiran pekerja.
Saya sedang merekrut perasa aiskrim antarabangsa Dr. Bombay. Gaji AS$10,000 sebulan dan anda boleh memohon dari mana-mana sahaja di dunia,” katanya menerusi video yang dikongsikan dalam media sosial.
Selain menguji rasa, calon terpilih perlu memantau trend makanan dan cita rasa global, mengenal pasti perkara berkaitan budaya serta melaporkan makanan dan minuman yang menjadi bualan masyarakat.
Mereka juga perlu menghasilkan kandungan sesi mencuba yang kelihatan semula jadi untuk dimuatkan dalam media sosial masing-masing.
Calon juga perlu mampu melakukan penilaian deria terhadap aiskrim berasaskan susu termasuk dari segi rasa, aroma dan tekstur dengan penguasaan bahasa Inggeris sebagai syarat wajib.
Jawatan tersebut ditawarkan secara kontrak bebas untuk tempoh tiga bulan dan turut terbuka kepada pencipta kandungan. – HIBGLAM
