‘Murung tiada pendapatan, nak minta JKM takut ambil hak orang’

TIDAK mampu bekerja selepas melalui prosedur pemasangan stent, pelawak Abon mengenepikan perasaan malu untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Abon atau Sharizan Ahmad, 66, berkata perkara itu perlu dilakukan berikutan keadaannya yang tidak dapat lagi keluar bekerja dalam tempoh pemulihan selepas serangan jantung pada Jun lalu selain wang simpanan sudah digunakan untuk kos rawatan serta ubat-ubatan.

“Ubat-ubatan saya cecah ratusan ringgit, belum termasuk perbelanjaan sampingan sepanjang saya sakit sekitar pertengahan lalu. Simpanan yang ada habis digunakan untuk tampung kos perubatan sebab saya tiada pencen.

“Kalau boleh memang saya tak nak meminta-meminta, apatah lagi takut kalau saya pohon (JKM), saya ambil hak orang lain. Apabila situasi sukar ini menimpa saya terus rasa berbelah bahagi nak minta tolong.

“Harapnya jangan sebab saya artis saya tak boleh memohon. Kita sudah tak mampu, tak boleh bekerja, jadi memang tiada sumber pendapatan ,” katanya ketika kunjungan Program Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di kediamannya, di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) merangkap Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi.

Menurut Abon lagi, kos pemasangan dua stent sahaja mencecah sekitar RM48,000 dan perbelanjaan berkenaan menggunakan wang pencen isterinya, Fauziah Muksin.

Pelakon komedi itu mengakui keadaan kini membuatkannya kemurungan, apatah lagi sebelum ini dia tidak pernah meminta bantuan, malah pernah berada dalam keadaan mampu menghulurkan sumbangan kepada orang lain.

“Saya tidak pernah minta bantuan, tetapi saya yang bagi bantuan sebab kita mampu. Sekarang keadaan sudah berubah. Rasa sedih juga kerana saya aktif ke sana sini.

“Saya tertekan, kemurungan dan tidak bercakap dengan orang sekeliling selama hampir dua minggu selepas disahkan menghidap masalah jantung,” katanya.

Mengulas kesihatan, Abon berkata dia tidak menyangka akan mengalami serangan jantung kerana selama ini menganggap dirinya mengamalkan gaya hidup yang baik.

“Saya ‘down’. Saya bukan perokok, gaya hidup saya pun bukannya sosial. Saya bukan jenis keluar sampai tengah malam. Saya balik rumah selepas kerja.

“Saya juga antara orang yang jaga makan sebab ayah, ibu, adik dan kakak saya menghidap kencing manis. Jadi saya tahu perkara ini boleh diwarisi dan saya memang cuba menjaga pemakanan.

“Bacaan kencing manis saya pun sekitar enam, lima, tetapi saya tidak sangka akhirnya boleh terkena serangan jantung,” ulasnya.

Pada 28 Jun lalu, pelawak itu dikatakan mengalami sakit dada ketika menyertai Ekspo Jabatan Warisan Negara Makanan Tradisi Malaysia di Ipoh, Perak sebelum dibawa ke klinik.

Kemudian dia dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan menerima rawatan di zon kecemasan sebelum dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).

Prosedur memasang belon dan satu stent dijalankan pada stent pada 30 Jun, manakala stent kedua beberapa hari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok