Usahakan solat walau di negara bukan mesra muslim – Janna Nick

MESKI sibuk mengembara dan menjelajah ke pelbagai pelosok destinasi percutian antarabangsa, pelakon Janna Nick tidak pernah menjadikan persekitaran sebagai kekangan melaksanakan solat lima waktu.

Menerusi perkongsian terbaharunya, pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner, 31, itu mengajak orang ramai berkongsi pengalaman melaksanakan ibadah itu ketika berada di luar negara.

Sedang usahakan solat di mana-mana kita berada walaupun di negara yang bukan ‘muslim friendly’ (mesra Muslim).

“Kalau kalian ada pengalaman solat macam ini kongsilah cara yang terbaik, jadi saya boleh perbaiki lagi,” katanya dalam Threads.

Berkongsi lanjut, isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu memberitahu bahawa kelengkapan ringkas sudah memadai untuk memudahkan urusannya mengerjakan solat.

“Saya hanya berbekalkan satu telekung ‘travel’ dan botol semburan kecil.

Harap tidur malam pengasas telekung ini akan selalu lena dan diulit mimpi indah sebab memudahkan hidup penjelajah macam saya,” ujarnya.

Perkongsian positif pelakon drama Suami Tanpa Cinta itu dihujani pujian ramai netizen yang turut berkongsi pelbagai petua dan pengalaman peribadi mendirikan solat ketika berada di luar negara.

“Subhana-Allah, siapa pun kita, solat paling utama. Ingatan terbaik,” kata pendakwah selebriti PU Amin.

“Masa jelajah ke Eropah, kadang-kadang memang tak ada tempat langsung. Saya sembahyang duduk, sama ada di atas kerusi di taman-taman atau kereta sewa parkir ikut arah kiblat,” ujar pengikut.

“Untuk info, pakaian yang kita pakai yang bersih dan menutup aurat pun boleh guna untuk solat kalau tiada telekung. Cuma pastikan longgar dan menutup aurat solat wanita terutamanya bahagian kepala, muka, pergelangan tangan dan kaki,” kata peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok